Honda CMX1100T Rebel 2023 diperkenalkan di pasaran Eropah

Honda Motor Europe sebelum ini dengan rasminya telah memperkenalkan model Honda CMX1100 Rebel 2023. Pada masa yang sama, versi terbaharu untuk model berkenaan turut diumumkan iaitu Honda CMX1100T Rebel 2023. Perbezaan yang ditawarkan oleh versi ‘T’ itu ialah ianya merupakan versi Touring yang kini dilengkapi dengan half-fairing aerodinamik dan kotak bagasi jenis keras.

Pilihan warna tunggal yang tersedia untuk Honda CMX1100T Rebel ialah Gunmetal Black Metallic, sementara spesifikasi teknikal lain adalah sama dengan model standard CMX1100 Rebel. Enjinnya bersesaran 1,084cc (SOHC, liquid-cooled, 4-stroke, 8-valve parallel twin with 270° crank and Uni-cam) dengan gandingan transmisi manual, selain turut tersedia pilihan transmisi DCT 6-kelajuan.

Enjin itu menawarkan kuasa maksimum 86hp @ 7,000rpm dengan tork puncak 98Nm @ 4,750rpm. Ciri-ciri menarik yang melengkapi Honda CMX1100T Rebel 2023 ini adalah seperti sistem suspensi boleh laras prabeban, sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, panel instrumen LCD dengan paparan negatif, pengecas USB-C, sistem lampu LED sepenuhnya, dan tangki bahan api 13.6 liter.

Honda CMX1100T Rebel 2023 seterusnya dilengkapi Throttle by Wire dengan tiga mod tunggangan lalai iaitu Standard, Rain dan Sport, sementara mod USER boleh ditetapkan sendiri. Di samping itu, Honda Selectable Torque Control (with integrated Wheelie Control) dan Cruise Control juga tersedia sebagai ciri standard. Tinggi tempat duduk 700 mm, dan beratnya ialah MT: 238 kg / DCT: 248 kg.