Suzuki Raider R150 Fi GP Special Edition 2023 diperkenalkan di pasaran Malaysia

Suzuki Malaysia kini memperkenalkan versi terbaharu untuk model moped Suzuki Raider R150 Fi, dalam versi GP Special Edition yang kelihatan cukup sporty dan menawan. Selain daripada pilihan warna terbaharu, Suzuki Raider R150 Fi GP Special Edition 2023 ini juga tampil dengan beberapa ciri eksklusif yang begitu menarik, bagi membezakannya dengan model standard sedia ada.

Ciri-ciri eksklusif yang ditawarkan itu adalah seperti Suzuki Raider GP Keychain, Suzuki Raider GP Wireless Earbud, Suzuki Raider GP Portable Bluetooth Speaker, Suzuki Raider GP Torch Light with Hazard Light & Tools, dan Suzuki Raider GP Ownership Certificate (sijil pemilikan). Menurut Suzuki Malaysia, model tersebut juga didatangkan dengan nombor siri selari dengan casis dan ‘Emblem’.

Berkenaan harga jualannya, setakat ini Suzuki Malaysia tidak mendedahkan berapakah harga asas yang ditawarkan untuk model edisi terhad itu. Namun untuk anda yang berminat, bolehlah membuat tempahan segera di mana-mana wakil pengedar Suzuki Malaysia yang sah di seluruh negara. Unit yang tersedia adalah terhad, jadi hanya pembeli terawal sahaja yang akan berjaya memilikinya.

Di bahagian enjin, Suzuki Raider R150 Fi GP Special Edition 2023 masih mengekalkan enjin yang sama seperti mana model standard. Ianya berkapasiti 147.3cc (satu silinder, sejukan cecair, DOHC, 4-injap, fuel injection) dengan kuasa maksimum 18.2hp @ 10,000rpm dan tork maksimum 13.8Nm @ 8,500rpm. Sistem transmisinya ialah enam kelajuan, manakala tangki bahan apinya 4.0 liter.