WMoto XDV250i 2023 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga bermula dari RM 18,888.00

Model skuter adventure terbaharu WMoto XDV250i 2023 akhirnya rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia, pada tarikh 09hb. Disember 2022 baru-baru ini. Model tersebut dilancarkan oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd., selaku pengedar rasmi skuter berjenama WMoto di pasaran tempatan.

Untuk pasaran Malaysia, WMoto XDV250i 2023 tampil dalam dua pilihan varian iaitu Standard dan Project-X. Bagi varian Standard, dua pilihan warna yang ditawarkan ialah Scarlet Red dan Admiral Blue, manakala varian Project-X hanya didatangkan dengan pilihan warna tunggal Majestic Black.

WMoto XDV250i dikuasakan enjin 244cc (4-lejang, silinder tunggal, 4-injap, SOHC, sejukan cecair) dengan sistem suntikan bahan api, yang kemudiannya dipadankan transmisi automatik CVT. Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 24.8hp @ 8,750rpm, dengan tork puncak 23Nm @ 6,750rpm.

Sebagai sebuah model skuter adventure serba boleh, WMoto XDV250i dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik. Antaranya seperti fork depan terbalik dan suspensi belakang daripada KYB, sistem brek ABS Dual Channel, sistem kunci pintar, panel meter digital LCD, dan juga sistem lampu LED.

Selain itu, WMoto XDV250i ini turut didatangkan dengan ciri-ciri dan kemudahan seperti pengecas USB, penyambung kuasa 12V/10A, lampu suis, ruang simpanan sisi kiri dan kanan, butang tempat duduk, ruang simpanan di bawah tempat duduk seluas 26 liter, dan kapasiti tangki petrol 13.5 liter.

Turut melengkapi model skuter berkenaan ialah cermin penghadang angin boleh laras, hendal aloi aluminium, pad anti gelincir, rim aloi dan dwi-paip ekzos. Bagi varian Project-X, ianya tampil dengan ciri-ciri eksklusif seperti rim spoke tanpa tiub, cermin penghadang angin yang lebih tinggi, dan tiga kotak simpanan barang-barang di bahagian sisi dan atas yang khusus untuk perjalanan jarak jauh.

Tidak dilupakan, WMoto XDV250i 2023 yang mempunyai enjin bertaraf Euro 4 itu turut dilengkapi lampu kecemasan untuk keselamatan yang lebih terjamin. Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 2 tahun, atau jarak perbatuan sehingga 20,000 km, berdasarkan yang mana tiba dahulu.

Harga jualan asas yang ditawarkan pula adalah sebanyak RM 18,888.00 bagi varian Standard, dan RM 21,888.00 bagi varian Project-X. Untuk ketenangan minda setiap pemilik WMoto XDV250i 2023 ini, MForce Bike juga menawarkan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara di dalam talian.