Seperti yang dijangkakan sebelum ini, model sports Yamaha YZF-R125 2023 berwajah baharu kini rasmi diperkenalkan di pasaran Eropah, dalam dua pilihan warna Icon Blue dan Tech Black. Model tersebut sebenarnya mempunyai reka bentuk sama seperti model Yamaha YZF-R15 generasi serba baharu, yang ketika ini turut ditawarkan di pasaran Malaysia dalam versi Yamaha YZF-R15M 2022.
Namun jika diteliti, sistem brek cakera Yamaha YZF-R125 2023 berada di sebelah kiri, berbanding di sebelah kanan untuk YZF-R15. Spesifikasi dan ciri-ciri menarik lain untuk model itu termasuklah lampu depan LED bi-functional yang kompak dengan lampu posisi LED, panel instrumen TFT 5 inci berwarna dengan tema Street dan Track, dan sistem sambungan menggunakan aplikasi MyRide.
Yamaha YZF-R125 2023, sama seperti Yamaha YZF-R15 generasi serba baharu, turut mempunyai spesifikasi seperti Traction Control System, triple clamp dan suis handlebar inspirasi dari model R1, fork depan upside-down 41 mm KYB, brek cakera depan dan belakang dengan ABS Dual Channel, swingarm yang ringan, tangki bahan api 11 liter, dan tayar 100/80-17 (front) dan 140/70-17 (rear).
Antara kelebihan yang ditawarkan untuk Yamaha YZF-R125 2023 untuk pasaran Eropah ini adalah seperti kaliper brek depan radial mount, pre-wiring untuk pemasangan sistem quickshifter, dan juga penggunaan tayar berprestasi tinggi Michelin Pilot Street. Ketinggian tempat duduk model tersebut berada pada paras 825 mm, jarak kelegaan bumi 160 mm, dan berat hanya 144 kg (wet weight).
Aspek prestasi Yamaha YZF-R125 2023 juga tidak kurang hebatnya, apabila dilengkapi enjin 125cc (Liquid-cooled, EURO5, SOHC, 4-stroke, 4-valves) dengan teknologi VVA, seterusnya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 15PS @ 10,000rpm, dengan tork setinggi 11.5Nm @ 8,000rpm.