Yamaha MT-07 2023 diperkenalkan di pasaran USA, harga $8,199.00

Selepas pasaran Eropah, Yamaha MT-07 2023 kini diperkenalkan di pasaran USA, dengan pilihan warna Cyan Storm, Team Yamaha Blue dan Matte Stealth Black. Bagaimanapun, model yang dijual dengan harga $8,199.00 (RM 36,731.52) itu hanya akan tiba di pasaran secara rasmi bermula April 2023. Untuk musim 2023, Yamaha MT-07 telah menerima beberapa naik taraf terkini yang menarik.

Naik taraf yang diterima itu adalah seperti skrin TFT 5.0 inci berwarna sepenuhnya dengan sistem sambungan ke aplikasi Yamaha Y-Connect. Selain itu turut tersedia ialah pra-pemasangan sistem elektronik yang diperlukan bagi pemasangan Quickshifter dengan pantas dan mudah. Quickshifter ketika ini merupakan antara pilihan aksesori yang ditawarkan oleh Yamaha untuk model MT-07.

Yamaha MT-07 2023 kekal dikuasakan enjin bersesaran 689cc (2-cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 4-valves) dengan sistem transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai angka 73.4PS @ 8,750rpm dengan tork setinggi 67Nm @ 6,500rpm. Kapasiti tangki bahan model naked itu ialah 14 liter, sementara berat keseluruhannya sekitar 184 kg (wet weight).