Benelli TRK 800 2023 diperkenalkan dengan enjin dua silinder 754cc

Model adventure Benelli TRK 800 2023 baru saja diperkenalkan untuk musim depan, selepas ianya membuat kemunculan pertama pada tahun lepas. Untuk musim 2023, model tersebut kekal dengan spesifikasi sedia ada, kecuali perbezaan dari segi warna yang pastinya lebih menarik. Di bahagian enjin, ianya bersesaran 754cc (In line 2 cylinders, 4-stroke, liquid cooled, 4 valves, DOHC).

Enjin itu dipadankan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch, dan menawarkan kuasa maksimum 76.2hp @ 8,500rpm dengan tork 67Nm @ 6,500rpm. Bagi menempuh perjalanan jauh, ianya dilengkapi tangki bahan api 21 liter. Di bahagian suspensi, fork depan jenis terbalik telah digandingkan dengan suspensi belakang monoshock dengan lengan ayun aluminium yang ringan.

Sistem brek pula disempurnakan oleh Brembo, di mana cakera depan berkembar 320 mm dengan kaliper empat piston dipadankan dengan cakera belakang 260 mm dengan kaliper tunggal. Benelli TRK 800 menggunakan rim aloi aluminium, yang dibaluti tayar depan dan belakang bersaiz 110/80-19 dan 150/70-17. Sepasang tayar berkenaan khusus untuk aktiviti adventure off-road yang lasak.

Sebagai sebuah jentera adventure yang serba lengkap, Benelli TRK 800 2023 turut dilengkapi skrin penghadang angin boleh laras, hand guard, tempat duduk yang selesa dengan ketinggian 834 mm, panel instrumen TFT 7.0 inci yang intuitif dan terang, sistem lampu LED dengan lampu depan DRL, dan berat kering 226 kg. Menurut Benelli, ianya akan berada di pasaran mulai pertengahan 2023.