Di pasaran Malaysia, model skuter sehingga kini masih belum menjadi pilihan utama penunggang motosikal tempatan, berbanding model-model dalam segmen kapcai dan moped. Jika dibandingkan dengan pasaran Indonesia dan Thailand, pasaran motosikal kapcai dan moped semakin mengecil, sebaliknya penunggang motosikal di sana lebih meminati model-model skuter keluaran terkini.
Mungkin disebabkan itulah kehadiran model skuter Honda PCX di pasaran Malaysia suatu ketika dahulu kurang dirasai. Malah model berkenaan akhirnya ditamatkan pengeluarannya kerana kurang permintaan daripada rakyat Malaysia. Sehingga kini, boleh dikatakan ramai peminat motosikal yang tidak mengetahui sejarah pelancaran rasmi Honda PCX generasi pertama di pasaran Malaysia.
Untuk makluman, Honda PCX buat pertama kalinya dilancarkan di pasaran Malaysia pada tarikh 31 Oktober 2012. Sewaktu dilancarkan, harga jualannya ketika itu ialah sebanyak RM10,888.00 untuk varian Deluxe dengan warna Pearl Metalloid White, dan RM10,688.00 untuk varian Standard yang didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Pearl Magellanic Black dan Radiate Grey Metallic.
Honda PCX generasi pertama itu dikuasakan enjin eSP bersesaran 152.9cc (single-cylinder, liquid cooled, SOHC 4-stroke 2-valve) dengan teknologi PGM-FI dan sistem transmisi automatik V-matic. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu ialah 13.6PS @ 8,500rpm, dengan keluaran tork maksimum 13.8Nm @ 5,250rpm. Kapasiti maksimum tangki bahan apinya pula ialah 5.9 liter.
Sebagai sebuah model skuter terbaharu yang serba moden, Honda PCX menawarkan banyak ciri-ciri menarik. Antaranya seperti sistem Idling Stop yang menjimatkan petrol, sistem brek CBS, suis tongkat sisi, roda aluminium 14 inci dengan tayar tanpa tiub, speedometer elektronik, suis kawalan pintar, kotak konsol, ruang storan seluas 25 liter, dan tangki minyak dengan pembuka jenis pop-up.
Dari segi reka bentuk, penampilan Honda PCX boleh dikatakan menarik dan sporty, namun masih belum cukup untuk menarik perhatian ramai peminat motosikal tempatan pada zaman itu. Mungkin juga kerana harganya yang bertaraf premium. Di pasaran antarabangsa, Honda PCX160 telah pun ditawarkan, dan status pelancarannya untuk pasaran Malaysia sehingga kini masih belum pasti.