Model skuter serba baharu Honda Vario 160 2023 kini tiba di pasaran Malaysia, dengan harga asas bermula dari RM 9,998.00. Harga itu ialah untuk tiga pilihan warna iaitu Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue dan Sword Silver Metallic. Bagi pilihan warna Mat Charcoal Grey Metallic yang bakal berada di pasaran mulai bulan Februari 2023 akan datang, harga asasnya adalah sebanyak RM 10,298.00.
Honda Vario 160 sebelum ini buat pertama kalinya dilancarkan di pasaran Indonesia, kemudiannya di pasaran Thailand, Kemboja dan juga Filipina. Untuk pasaran Malaysia, Boon Siew Honda hanya menawarkan model tersebut dalam satu varian sahaja iaitu dengan sistem brek ABS, tanpa pilihan varian dengan sistem brek CBS, seperti mana yang ditawarkan di pasaran Indonesia dan Thailand.
Di bahagian teknikal, Honda Vario 160 tampil dengan pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri yang menarik, antaranya termasuklah enjin eSP+ yang berkapasiti 156.9cc (4-stroke, 4-valve, liquid-cooled, PGM-FI) dengan gandingan transmisi automatik V-Matic. Enjin itu menjana kuasa maksimum 15.16hp @ 8,500rpm dengan tork 13.8Nm @ 7,000rpm. Tangki petrolnya pula hadir dengan kapasiti 5.5 liter.
Honda Vario 160 dibangunkan di atas casis berteknologi tinggi eSAF (enhanced Smart Architecture Frame), untuk prestasi tunggangan yang lincah dan mudah dikendalikan. Sistem suspensinya pula memperlihatkan ianya dilengkapi fork depan jenis teleskopik, dengan gandingan suspensi belakang tunggal dengan lengan ayun, untuk keselesaan dan kestabilan terbaik sewaktu ianya ditunggang.
Honda Vario 160 kemudiannya dilengkapi sistem brek cakera depan dan belakang, bersama-sama sistem ABS Single Channel. Di bahagian roda, model tersebut menggunakan tayar lebar tanpa tiub dalam siri 100/80-14 (depan) dan 120/70-14 (belakang). Ketinggian tempat duduk model berkenaan ialah 778 mm, sementara beratnya berada pada angka 119 kg (dengan minyak dan tangki penuh).
Selain itu, Honda Vario 160 2023 turut didatangkan dengan sistem lampu LED sepenuhnya, sistem Honda Smart Key dengan fungsi penggera keselamatan dan maklum balas penerima, panel meter digital pelbagai maklumat, soket pengecas USB di dalam kotak konsol untuk kemudahan mengecas telefon bimbit, dan ruang 18 liter yang luas di bawah tempat duduk untuk simpanan barang-barang.
Di pasaran Malaysia, Honda Vario 160 ini bakal memberikan saingan terhadap model Yamaha NVX 2022, yang baru saja dilancarkan pada pertengahan bulan Oktober 2022 yang lepas. Harga jualan asas yang ditawarkan untuk model skuter tersebut ialah sebanyak RM 9,598.00 (Standard) dan RM 11,498.00 (ABS). Di antara kedua-duanya, model manakah yang menjadi pilihan muktamad anda?