Honda Vario 160 2022 serba baharu dilancarkan di pasaran Indonesia, harga bermula dari RM 7,502.13

Lebih setahun yang lepas, Honda dikhabarkan bakal melancarkan sebuah model skuter terbaharu Honda Vario 160. Akhirnya kelmarin pada tarikh 02hb. Februari 2022, model yang dinanti-nantikan itu rasmi dilancarkan di pasaran Indonesia, dalam dua varian iaitu CBS dan ABS, dengan masing-masing boleh didapati dalam tiga pilihan warna berbeza.

Untuk varian CBS, Honda Vario 160 2022 mempunyai pilihan warna Grande Matte Red, Grande Matte Black dan Active Black. Untuk varian ABS, pilihan warnanya ialah Grande Matte White, Grande Matte Black dan Active Black. Harga yang ditawarkan bermula dari Rp. 25,800,000 (RM 7,502.13) untuk varian CBS, manakala varian ABS memiliki tanda harga sebanyak Rp. 28,500,000 (RM 8,287.24) berdasarkan kadar mata wang semasa.

Dari segi gaya dan penampilan keseluruhan, Honda Vario 160 2022 tampil dengan reka bentuk yang lebih sporty, agresif dan lebih maskulin berbanding model terdahulu Honda Vario 150. Enjinnya juga telah menerima naik taraf yang lebih signifikan, kini dilengkapi enjin eSP+ bersesaran 156.9cc (4-stroke, 4-valve, liquid-cooled, PGM-FI), digandingkan dengan transmisi automatik V-Matic, seterusnya lebih berkuasa dan lebih menjimatkan.

Enjin generasi baharu yang serba canggih itu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 15.4PS @ 8,500rpm, dengan tork puncak 13.8Nm @ 7,000rpm. Walaupun menawarkan prestasi pecutan yang lebih responsif, tahap ekonomi bahan api model berkenaan tetap cekap sehingga mencapai 46.9 km/liter (WTMC Mode, Euro 3, Idling Stop System ON). Untuk jarak perjalanan lebih jauh, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 5.5 liter.

Menurut Honda, Vario 160 serba baharu ini dibangunkan di atas kerangka berteknologi tinggi eSAF (enhanced Smart Architecture Frame), menjadikan prestasi tunggangannya lebih lincah dan mudah dikendalikan. Model skuter premium dengan berat hanya 115 kg (CBS) dan 117 kg (ABS) itu seterusnya dilengkapi fork depan teleskopik dan suspensi belakang tunggal dengan lengan ayun, untuk tahap keselesaan dan kestabilan terbaik.

Untuk tahap keselamatan yang lebih baik, Honda Vario 160 seterusnya dilengkapi brek cakera depan dan belakang dengan ABS (untuk varian ABS), diikuti brek cakera depan dan brek dram belakang untuk varian CBS. Di bahagian roda, ianya didatangkan ukuran tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 100/80-14 (Tubeless) dan 120/70-14 (Tubeless), dan kemudiannya dipadankan dengan rim aloi yang sporty dan bergaya.

Honda Vario 160 2022 merupakan sebuah model skuter yang bertaraf premium, moden dan canggih. Oleh itu ianya didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri dan kemudahan yang menarik, antaranya seperti sistem lampu LED sepenuhnya, sistem kunci Honda Smart Key, panel meter digital sepenuhnya dengan pelbagai info, soket USB untuk mengecas telefon bimbit, dan ruang bagasi berukuran 18 liter yang luas di bawah tempat duduk.

Untuk pasaran Indonesia, Honda turut menyediakan pelbagai aksesori menarik khusus untuk Honda Vario 160 2022, seperti Garnish Headlight, Smart Key Cover, Visor, Panel Step Floor, Garnish Air Filter, Garnish Muffler, Seat Cover, dan Garnish Radiator. Untuk pasaran Malaysia, sama-samalah kita tunggu pelancarannya oleh Boon Siew Honda.