BMW Motorrad baru saja memperkenalkan BMW S 1000 RR 2023, dengan naik taraf baharu yang lebih dinamik melibatkan enjinnya yang kini lebih berkuasa, casis dan suspensi yang lebih canggih, penambahan sistem bantuan DTC Slide Control, Brake Slide Assist dan fungsi talaan ABS Pro “Slick”, serta peningkatan aerodinamik melalui rekaan baharu fairing dan bahagian ekor belakang.
BMW S 1000 RR 2023 masih mengekalkan enjin semasa, namun kuasanya kini meningkat kepada paras 210hp @ 13,750rpm, naik 3hp berbanding model sebelumnya. Tork maksimum pula 113Nm @ 11,000rpm, manakala putaran enjin kini mencapai tahap maksimum 14,600rpm. Selain itu nisbah gear kedua pada model itu kini lebih pendek untuk cengkaman yang lebih baik pada roda belakang.
Rekaan terkini pada bahagian fairing kini memperlihatkan BMW S 1000 RR 2023 dilengkapi winglet untuk janaan downforce aerodinamik yang lebih tinggi. Sementara itu bahagian belakang juga telah direka semula, menjadikannya kini lebih ringan dan kelihatan lebih sporty. Menyerlahkan lagi gaya dan penampilan jentera berprestasi tinggi itu ialah pilihan tiga skim warna terbaharu yang menarik.