Yamaha Tracer 9 GT+ 2023 diperkenalkan di pasaran Eropah, varian tercanggih yang dilengkapi dengan sistem radar

Pada awal bulan November 2022 yang lepas, Yamaha Motor Europe telah memperkenalkan varian terbaharu untuk model Sport Touring Yamaha Tracer 9 dan Yamaha Tracer 9 GT, dikenali sebagai Yamaha Tracer 9 GT+ 2023. Varian tersebut merupakan varian tercanggih yang dilengkapi dengan sistem radar gelombang milimeter, di samping tampil dengan pelbagai naik taraf lain yang menarik.

Dengan adanya sistem ‘millimetre wave radar’ itu, Yamaha Tracer 9 GT+ turut dilengkapi teknologi Adaptive Cruise Control (ACC) dan Unified Brake System (UBS) berkaitan radar pertama di dunia, menjadikan tunggangan jentera touring itu lebih selamat. Turut tersedia skrin TFT 7.0 inci terbaharu dengan ciri sambungan ke telefon pintar, bersama-sama paparan sistem navigasi daripada Garmin.

Melengkapkan lagi naik taraf untuk Yamaha Tracer 9 GT+, antaranya termasuklah sistem suspensi kawalan elektronik KYB yang kini diperhalusi semula, riding mode berintegrasi baharu, kluster suis handlebar yang lebih ergonomik, soket pengecas USB A baharu, lekapan sidecase ditambah baik dengan damper system, quickshifter generasi ke-3 baharu, dan juga naik taraf baharu sistem brek.

Yamaha Tracer 9 GT+ dikuasakan enjin 890cc (4-stroke, Liquid-cooled, DOHC, 4-valves, 3-cylinder, EURO5) dengan transmisi enam kelajuan, dan menjana 119PS @ 10,000rpm dengan tork 93Nm @ 7,000rpm. Tangki bahan apinya 19 liter, menjadikan berat basahnya 223 kg. Varian terbaharu sport touring itu kemudiannya ditawarkan dengan dua pilihan warna Power Grey dan Icon Performance.