Yamaha Motor Europe pada kelmarin dengan rasminya memperkenalkan Yamaha XMAX 300 2023, kini tampil dengan gaya rekaan serba baharu yang lebih dinamik. Untuk pasaran Eropah, model skuter maxi itu boleh didapati dalam dua pilihan warna menarik iaitu Icon Blue dan Sonic Grey, dan ianya akan berada di pasaran secara rasmi mulai bulan Mac 2023 akan datang.
Yamaha XMAX 300 2023 ini dikuasakan enjin berkapasiti 292cc (4-stroke, Liquid-cooled, SOHC, 4-valves, EURO5, Single cylinder) dengan transmisi V-Belt Automatic, dan menawarkan kuasa maksimum 27.6hp @ 7,250rpm dengan tork 29Nm @ 5,750rpm. Untuk perjalanan yang lebih jauh, model seberat 183 kg (wet weight) ini dibekalkan tangki bahan api dengan kapasiti 13.2 liter.
Ciri-ciri menarik yang melengkapinya termasuklah panel instrumen digital LCD 4.3 inci, sistem sambungan ke telefon pintar, sistem lampu LED sepenuhnya, sistem kunci pintar dengan ‘keyless ignition’, Traction Control System (TCS), handlebar dan skrin boleh laras, ruang bagasi yang luas dengan muatan dua buah helmet ‘full-face’, dan lampu LED ‘front flashers’ pada kedudukan tinggi.
Untuk pasaran Malaysia dan juga pasaran ASEAN yang lain, Yamaha XMAX 300 2023 akan turut diperkenalkan, dijangkakan mulai tahun depan. Namun pasaran Malaysia akan menerima versi dengan enjin 250cc, bagi menggantikan model sedia ada Yamaha XMAX 250 2022, yang telah dilancarkan pada bulan Ogos 2022 yang lepas dengan harga jualan asasnya RM 22,298.00.