Suzuki Avenis 125 2023 akan tiba di pasaran Eropah mulai awal tahun depan

Pada tarikh 04hb. Oktober 2022 yang lepas, Suzuki telah mengumumkan ketibaan model skuter terbaharu Suzuki Avenis 125 2023 untuk pasaran Eropah. Model tersebut akan ditawarkan kepada pelanggan secara rasmi mulai awal tahun depan, dalam dua pilihan warna menarik iaitu Pearl Mirage White / Metallic Matt Fibroin Grey dan Metallic Matt Fibroin Grey / Metallic Lush Green.

Suzuki Avenis 125 2023 merupakan sebuah model skuter kompak dan sporty, yang menawarkan gaya tunggangan lincah dan menyeronokkan terutamanya di kawasan bandar. Ianya dilengkapi enjin dalam sesaran 124cc (4-stroke, 1-cylinder, air-cooled, SOHC) dengan transmisi CVT, dan menawarkan kuasa maksimum 8.7PS @ 6,750rpm dengan tork maksimum 10Nm @ 5,500rpm.

Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 5.2 liter. Untuk lebih kemudahan, turut tersedia ruang storan di bahagian depan dengan port pengecas USB, termasuk ruang storan seluas 21.5 liter di bawah tempat duduk. Suzuki Avenis 125 2023 dilengkapi tayar depan dan belakang bersaiz 90/90-12 dan 90/100-10, tinggi tempat duduk hanya 780 mm, dan beratnya 107 kg (kerb mass).