Model adventure terbaharu Suzuki V-Strom 250 SX 2022 secara rasminya dilancarkan di pasaran Filipina hari ini. Dua pilihan warna ditawarkan untuk model tersebut iaitu Champion Yellow dan Glass Sparkle Black, manakala harga jualannya ditetapkan sebanyak PHP 229,000, bersamaan nilai RM 18,669.01 mengikut kadar mata wang semasa.
Suzuki V-Strom 250 SX merupakan sebuah model kembara yang lasak dan serba boleh. Ianya sebelum ini dilancarkan buat pertama kali di pasaran India, dan Filipina menjadi pasaran keduanya. Selepas ini ianya dikhabarkan akan dilancarkan di pasaran Indonesia, dan mungkin pasaran Malaysia juga akan menerima pelancarannya pada masa akan datang.
Melihat ke bahagian enjin, ianya bersesaran 249cc (4-stroke, 1-cylinder, 4-valve, SOHC) dengan teknologi penyejukan minyak, dan dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkannya mencapai 26hp @ 9,300rpm dengan tork maksimum 22.2Nm @ 7,300rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, ianya dilengkapi tangki bahan api 12 liter.
Suzuki V-Strom 250 SX 2022 seterusnya dilengkapi sistem brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS Dual Channel, tayar depan dan belakang tanpa tiub (tubeless) dalam siri 100/90-19 dan 140/70-17, ketinggian tempat duduk 835 mm, jarak kelegaan bumi 205 mm, dan berat keseluruhan jentera adventure itu hanyalah 167 kg (curb mass).