Triumph Tiger 1200 GT Pro 2022 di pasaran Malaysia, harga asas RM 115,900.00

Untuk pasaran Malaysia, Triumph Tiger 1200 GT Pro 2022 secara rasminya dilancarkan pada bulan Mei 2022 yang lepas. Model tersebut tampil dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Snowdonia White, Sapphire Black dan Lucerne Blue. Harga jualan asas yang ditawarkan pula ialah sebanyak RM 115,900.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Triumph Tiger 1200 GT Pro dikuasakan enjin bersesaran 1,160cc (liquid-cooled, 12 valve, DOHC, inline 3-cylinder) yang menghasilkan kuasa maksimum 150PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 130Nm @ 7,000rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan, yang berhubung terus dengan pemacu akhir jenis shaft drive.

Sistem suspensinya terdiri daripada fork depan USD Showa 49 mm semi-active dengan travel 200 mm, bersama-sama suspensi belakang monoshock Showa semi-active dengan sistem pelarasan prabeban elektronik automatik dan travel 200 mm. Sistem brek depan menggunakan kaliper radial monoblok Brembo M4.30 Stylema dengan sepasang cakera 320 mm, manakala di bahagian belakangnya ialah kaliper Brembo satu piston dengan cakera tunggal 282 mm.

Untuk jarak perjalanan yang lebih jauh, Triumph Tiger 1200 GT Pro yang mempunyai berat basah 245 kg itu dilengkapi tangki bahan api 20 liter. Tinggi tempat duduknya berada pada paras 850/870 mm (adjustable), yang turut disumbangkan oleh roda depan dan belakang dalam ukuran masing-masing 120/70-R19 dan 150/70-R18, dengan balutan tayar Metzeler Tourance.

Selanjutnya, Triumph Tiger 1200 GT Pro 2022 ini dilengkapi panel instrumen TFT 7.0 inci berwarna sepenuhnya dengan My Triumph Connectivity System, sistem lampu LED sepenuhnya dengan Daytime Running Light, Adaptive Cornering Lighting, hand guards, aluminium skid plate, heated grips, Triumph shift assist (up and down), pilihan 5 mod tunggangan, Cruise Control, Hill Hold, ABS dan juga Traction Control.