MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. selaku pengedar tunggal rasmi jenama QJ Motor di pasaran Malaysia, kini melancarkan model sport bike terbaharu QJ Motor SRK250RR 2022. Model yang tampil dengan rekaan sporty dan agresif itu ditawarkan dengan harga jualan asas sebanyak RM 18,888.00, dalam tiga pilihan warna yang cukup menarik Red, Orange dan Black.
QJ Motor SRK250RR dikuasakan enjin bersesaran 249cc (liquid-cooled, 2-cylinder inline, 4-stroke, 8-valves, DOHC) dengan padanan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin berprestasi itu mencapai paras 31.5hp @ 11,000rpm, dengan tork maksimum pada angka 21.2Nm @ 9,000rpm.
Pelbagai ciri-ciri menarik melengkapi SRK250RR ini, antaranya ialah fork depan upside down, suspensi belakang monoshock dengan lengan ayun aluminium, brek cakera depan 300 mm dengan ABS, brek cakera belakang 240 mm dengan ABS, sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital LCD, tangki bahan api 14 liter, tinggi tempat duduk 780 mm, dan berat 215 kg.
Model tersebut seterusnya berdiri di atas tayar depan dan belakang dalam siri 110/70-R17 dan 140/70-R17. Menurut MForce dengan setiap pembelian SRK250RR, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama tempoh dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu), dan juga perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara di dalam talian.