Kawasaki Ninja 650 2023 kini di pasaran USA, harga jualan bermula dari $7,999.00

Model sport bike kelas pertengahan Kawasaki Ninja 650 2023 sebelum ini telah diperkenalkan di pasaran Eropah, dengan dua pilihan warna terbaharu Lime Green / Ebony (KRT Edition) dan Metallic Matte Graphenesteel Gray / Ebony. Sementara itu di pasaran USA baru-baru ini, model tersebut diperkenalkan dengan dua pilihan warna terbaharu yang berlainan iaitu Metallic Matte Graphenesteel Gray / Ebony dan Pearl Robotic White / Metallic Matte Flat Raw Graystone / Ebony.

Untuk pasaran USA, Kawasaki Ninja 650 2023 (Non-ABS) ditawarkan dengan harga $7,999.00 (RM 37,611.30) untuk dua pilihan warna berkenaan, manakala untuk model ABS dengan pilihan warna Lime Green / Ebony (KRT Edition), harganya ialah $8,199.00 (RM 38,551.70). Sama seperti di pasaran Eropah, model tersebut turut menerima naik taraf terbaharu berupa KTRC (Kawasaki TRaction Control) dengan tiga pilihan mod, di samping sistem lampu kini telah LED sepenuhnya.

Spesifikasi dan ciri-ciri lain adalah sama, termasuklah enjin 649cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan gandingan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan juga dipercayai sama seperti di pasaran Eropah, iaitu 68PS @ 8,000rpm dengan tork maksimum 64Nm @ 6,700rpm. Kapasiti maksimum tangki bahan api pada model itu ialah 15 liter. Untuk pasaran Malaysia, sama-samalah kita tunggu pelancarannya nanti.