Triumph Tiger 1200 Rally Explorer 2022 di pasaran Malaysia, harga asas RM 130,900.00

Selain daripada model Triumph Tiger 1200 GT Pro 2022, pasaran Malaysia pada Mei yang lalu turut menerima model Triumph Tiger 1200 Rally Explorer 2022. Kedua-dua model tersebut pada asasnya adalah sama, namun bagi versi Rally Explorer, ianya mempunyai beberapa kelebihan bagi membolehkannya meredah perjalanan off-road yang lebih mencabar dan lebih jauh.

Berbanding Tiger 1200 GT Pro, Tiger 1200 Rally Explorer dilengkapi tangki bahan api 30 liter, roda depan dan belakang dalam siri 90/90-R21 dan 150/70-R18 dengan balutan tayar Metzeler Karoo Street, sistem suspensi depan dan belakang dengan jarak travel 220 mm, tinggi tempat duduk dalam dua pelarasan 875 mm dan 895 mm, lima mod tunggangan dengan tambahan mod Off-Road Pro, My Triumph Connectivity System sebagai ciri standard, dan berat 261 kg (wet weight).

Di bahagian enjin, Triumph Tiger 1200 Rally Explorer ini dikuasakan enjin bersesaran 1,160cc (liquid-cooled, 12 valve, DOHC, inline 3-cylinder) yang menghasilkan kuasa maksimum 150PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 130Nm @ 7,000rpm. Enjin itu kemudiannya telah dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan, dengan pemacu akhirnya merupakan jenis shaft drive.

Spesifikasi lain yang melengkapinya adalah seperti sistem suspensi Showa semi-active depan dan belakang, brek cakera depan berkembar 320 mm dengan kaliper Brembo M4.30 Stylema, brek cakera belakang Brembo 282 mm, sistem lampu LED dengan Daytime Running Light, Adaptive Cornering Lighting, hand guards, aluminium skid plate, heated grips, Triumph shift assist (up and down), Blind Spot Radar, Cruise Control, Hill Hold, ABS, Traction Control, dan tiga pilihan warna.

Untuk pasaran Malaysia, Triumph Tiger 1200 Rally Explorer 2022 ditawarkan dengan harga asas RM 130,900.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan. Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 3 tahun dengan jarak perbatuan tanpa had. Tempoh selang masa untuk penyelenggaraannya (service interval) ialah 16,000 km atau 12 bulan, yang mana tiba lebih awal.