QJ Motor SRV250 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 16,888.00

Selain daripada model sport bike QJ Motor SRK250RR 2022 dan model naked QJ Motor SRK250 2022, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. pada masa yang sama turut melancarkan model cruiser terbaharu QJ Motor SRV250 2022. Didatangkan dalam dua pilihan warna menarik Matte Green dan Matte Black, harga jualan asasnya ialah sebanyak RM 16,888.00.

QJ Motor SRV250 tampil dengan reka bentuk sporty dan bergaya, dan ianya dikuasakan enjin bersesaran 249cc (liquid-cooled, 2-cylinder V-twin, 4-stroke, 8-valves, DOHC) dengan gandingan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Jumlah kuasa maksimum daripada enjin itu mencapai 27.5hp @ 9,000rpm, dengan tork maksimum 23Nm @ 7,000rpm.

Dengan sistem ekzos torpedo berkembarnya, motosikal cruiser itu dikatakan mampu menghasilkan bunyi deruman yang lebih garang, di samping pembakaran bahan api yang lebih efisien. Untuk tunggangan santai yang lebih jauh, model dengan tempat duduk setinggi 700 mm dan berat 163 kg itu seterusnya dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 13.5 liter.

QJ Motor SRV250 mempunyai pelbagai ciri-ciri menarik yang boleh dikatakan berbaloi dengan harga yang ditawarkan, seperti sistem lampu LED, panel meter digital, fork depan jenis terbalik, suspensi belakang berkembar, brek cakera depan 280 mm dan cakera belakang 240 mm dengan sistem ABS Dual Channel, tayar depan 120/80-R16, dan tayar belakang 150/80-R15.

Kepada anda yang berminat untuk memiliki model cruiser terbaharu QJ Motor SRV250 2022 ini, tentunya tidak perlu risau kerana Mforce telah menawarkan tempoh jaminan selama 2 tahun atau sehingga jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu), dan juga perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara di atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.