Pengedar rasmi skuter berjenama Italjet di pasaran Malaysia, Chear Global Sdn. Bhd. pada hari ini telah melancarkan model Italjet Dragster 125 2022 dan Italjet Dragster 200 2022. Kedua-dua model skuter tersebut tampil dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Anthracite White Red, Anthracite Yellow dan Black Grey. Harga jualan asas yang ditawarkan adalah seperti berikut :
- 2022 Italjet Dragster 125 : RM 29,500.00
- 2022 Italjet Dragster 200 : RM 34,800.00
Italjet Dragster sama ada dalam varian 125 dan 200, kedua-duanya merupakan model yang sama, namun berbeza kapasiti enjinnya. Bagi Dragster 125, ianya dikuasakan enjin bersesaran 124cc (4-stroke, single cylinder, 4-valves, liquid-cooled, DOHC) yang patuh piawaian emisi Euro 5, dengan gandingan sistem transmisi CVT. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 12.5hp @ 9,500rpm, dengan tork maksimum setinggi 10.5Nm @ 7,750rpm.
Bagi Dragster 200 pula, sesaran enjinnya ialah 181cc, dengan kuasa maksimum yang lebih tinggi iaitu 17.5hp @ 8,000rpm dan tork maksimum 15.5Nm @ 7,750rpm. Kapasiti tangki bahan api untuk Dragster 125 dan 200 ialah 9.0 liter. Selain daripada rupa paras yang begitu unik dan futuristik, model skuter tersebut turut dilengkapi sistem suspensi canggih di bahagian depan (I.S.S. single-arm and PAIOLI hydro-pneumatic adjustable shock absorber), termasuklah sistem suspensi belakang jenis tunggal (single hydro-pneumatic adjustable shock absorber).
Di bahagian brek depan dan belakang, kedua-duanya adalah cakera (front hydraulic disc brake 200 mm & rear hydraulic disc brake 190 mm) dengan kaliper Brembo, serta lengkap dengan sistem ABS (Anti-lock Braking System). Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Dragster 125 dan 200 adalah seperti sistem lampu LED sepenuhnya, tayar depan dan belakang yang bersaiz 120/70-R12 dan 140/60-R13, dan tinggi tempat duduk pada paras hanya 770 mm.
Italjet Dragster 125 dan Italjet Dragster 200 dikatakan mempunyai kelajuan maksimum atau top speed di antara 120 km/j sehingga 130 km/j, pastinya bergantung kepada beban yang dibawa, keadaan jalan raya dan juga rintangan angin. Dengan harga asas mencecah RM 30k dan RM 35k, ianya berada di dalam segmen premium, namun tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri.