Model naked Yamaha MT-03 2022 rasmi diperkenalkan di pasaran Thailand pada bulan Julai yang lepas, kini tampil dengan dua pilihan warna terbaharu Gray dan Black. Harga jualan yang ditawarkan untuk model dengan tema ‘Dark Blast’ itu ialah THB 196,500.00, bersamaan nilai sebanyak RM 23,985.19 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.
Sehingga kini, Yamaha MT-03 2022 di pasaran Thailand masih mengekalkan spesifikasi yang sama, seperti mana model tahun 2021. Dengan enjin 321cc (liquid-cooled, DOHC, 4-stroke, 4-valves), kuasa maksimumnya mencapai 42PS @ 10,750rpm dengan janaan tork 29Nm @ 9,000rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan.
Yamaha MT-03 2022 seterusnya dilengkapi fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock dengan ciri pelarasan prabeban, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS dual-channel, panel instrumen digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya, kapasiti tangki bahan api 14 liter, serta tayar dalam siri 110/70-R17 dan 140/70-R17.
Untuk pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) tidak menawarkan model Yamaha MT-03, sebaliknya menawarkan model Yamaha MT-25 yang lebih mesra kelas lesen B2. Di pasaran Malaysia, Yamaha MT-25 2021 boleh dimiliki dengan harga jualan asas sebanyak RM 21,500.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).