Jangkaan harga Modenas Ninja ZX-25R 2023 di pasaran Malaysia, adakah hanya sekitar RM 29k?

Model sport bike yang ditunggu-tunggu selama ini, Modenas Ninja ZX-25R 2023 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun depan. Namun tarikh sebenar pelancaran model tersebut masih belum diumumkan oleh pengedarnya Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS), namun mungkin akan berlangsung dalam suku pertama atau kedua 2023.

Antara sebab kenapa Modenas Ninja ZX-25R 2023 sangat dinanti-nantikan oleh ramai peminat motosikal tempatan di pasaran Malaysia ialah kerana ianya merupakan model yang dijenamakan semula daripada model Kawasaki Ninja ZX-25R. Model tersebut kini dijual di beberapa pasaran luar termasuklah Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Spesifikasi yang ditawarkan pula sememangnya sangat mantap, antaranya dikuasakan enjin 249.8cc (liquid-cooled, 4-stroke in-line four, DOHC, 16 valves) yang menghasilkan kuasa maksimum 45PS @ 15,500rpm, dengan tork maksimumnya 21Nm @ 13,000rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch.

Lebih dari itu, Modenas Ninja ZX-25R 2023 turut dilengkapi teknologi KTRC (Kawasaki Traction Control), Power Mode Selection, KQS (Kawasaki Quick Shifter), fork depan 37 mm SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston), sistem brek dengan ABS, paparan panel instrumen yang canggih, dan kelajuan maksimumnya yang mencapai 190 km/j.

Bagaimanapun oleh kerana ianya sebuah model sport bike berprestasi tinggi, melebihi apa yang ditawarkan oleh Modenas Ninja 250 2022, jadi sudah tentu harga jualannya nanti akan berada pada paras premium. Berkemungkinan besar, harga jualan asasnya nanti akan berada di sekitar RM 29k, dan dijangka tidak akan melebihi paras RM 30k.

Ini kerana di pasaran Thailand, perbezaan harga di antara model Kawasaki Ninja 250 dan Kawasaki Ninja ZX-25R adalah sekitar RM 9.2k sahaja, berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa. Oleh kerana Modenas Ninja 250 versi ABS dijual pada harga asas RM 20,500.00, jadi dijangkakan harga Modenas ZX-25R adalah sekitar RM 29k sahaja.

Jumlah harga tersebut jika benar, boleh dikatakan sangat berpatutan dengan apa yang ditawarkan, untuk sesebuah model dengan enjin 250cc empat silinder. Tambahan pula apabila ianya dipasang secara CKD oleh Modenas, secara tidak langsung harga jualan yang ditetapkan menjadi lebih rendah berbanding versi CBU yang diimport sepenuhnya.

Jadi apa pendapat semua peminat motosikal tempatan? Adakah benar Modenas Ninja ZX-25R 2023 yang bakal dilancarkan nanti, akan ditawarkan dengan harga jualan asas RM 29,XXX.XX sahaja? Jika harganya lebih rendah, itu lebih baik. Yang penting, harga jualan asasnya nanti sangatlah diharapkan tidak akan melebihi paras RM 3X,XXX.XX.