Honda Motor Europe baru-baru ini telah memperkenalkan Honda NT1100 2023, dengan pilihan warna terbaharu Gunmetal Black Metallic. Pilihan warna lain yang turut tersedia ialah Matte Iridium Gray Metallic dan Pearl Glare White, yang sebelum ini diperkenalkan melalui model Honda NT1100 2022, ketika dilancarkan pada bulan Oktober yang lepas.
Untuk musim 2023, Honda NT1100 hanya menawarkan pilihan warna terbaharu sahaja, manakala aspek spesifikasi dan ciri-ciri teknikalnya masih lagi sama. Di bahagian enjin, ianya bersesaran 1,084cc (Liquid-cooled, 4-stroke, 8-valve Parallel Twin), digandingkan sistem transmisi sama ada manual enam kelajuan atau DCT enam kelajuan, seterusnya menjana kuasa maksimum 100.6hp @ 7,500rpm dan tork puncak 104Nm @ 6,250rpm.
Sebagai sebuah jentera pengembaraan jarak jauh, Honda NT1100 mempunyai kapasiti tangki bahan api maksimum 20.4 liter. Selain itu, ianya turut dilengkapi lima pilihan mod tunggangan iaitu ‘URBAN, RAIN and TOUR, plus 2 customisable USER modes’, Honda Selectable Torque Control (HSTC), Wheelie Control, dan sistem brek ABS dua saluran.
Model tersebut seterusnya dilengkapi ciri-ciri standard seperti skrin penghadang angin boleh laras, kotak bagasi sisi, ‘heated grips’, tongkat tengah, ‘cruise control’, pengecas USB dan ACC, panel instrumen TFT 6.5 inci (touch screen, full colour) dengan teknologi sambungan Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem lampu LED sepenuhnya (plus self-cancelling indicators) dan lampu kecemasan Emergency Stop Signals (ESS).