Honda NT1100 2022 diperkenalkan sebagai jentera touring era baharu yang serba lengkap

Pada pertengahan bulan Oktober 2021 baru-baru ini, Honda Motor Europe dengan rasminya memperkenalkan jentera touring era baharu Honda NT1100 2022. Bukan saja tampil dengan gaya rekaan sporty dan segar, malah model tersebut juga menawarkan pelbagai ciri-ciri yang praktikal dan tahap keselesaan maksimum sewaktu tunggangan.

Honda NT1100 yang diasaskan daripada jentera touring Honda CRF1100L Africa Twin ini dikuasakan enjin 1,084cc (Liquid-cooled, 4-stroke, 8-valve Parallel Twin), dipadankan sistem transmisi sama ada manual enam kelajuan atau DCT enam kelajuan, seterusnya menjana kuasa maksimum 100.6hp @ 7,500rpm dan tork puncak 104Nm @ 6,250rpm.

Untuk perjalanan lebih jauh tanpa perlu kerap mengisi petrol, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 20.4 liter. Beralih ke sistem suspensi, di depannya ialah fork teleskopik Showa SFF-BP 43 mm jenis terbalik (with dial-style preload adjuster) dengan gandingan suspensi belakang monoshock (with hydraulic dial-style preload adjuster).

Untuk tahap keselamatan maksimum, Honda NT1100 didatangkan brek cakera depan berkembar 310 mm (radial mounted four-piston brake caliper), bersama-sama cakera belakang tunggal 256 mm (single piston caliper). Di bahagian rodanya, jentera tersebut menggunakan tayar dalam ukuran 120/70-R17 (depan) dan 180/55-R17 (belakang).

Honda NT1100 mempunyai ketinggian tempat duduk 820 mm, dengan jarak kelegaan bumi 175 mm. Berat keseluruhannya pula mencapai 238 kg untuk versi MT dan 248 kg untuk versi DCT. Untuk pasaran Eropah, tiga pilihan warna yang tersedia untuk jentera touring itu ialah Matte Iridium Gray Metallic, Pearl Glare White dan Graphite Black.

Sebagai sebuah jentera touring era baharu yang tampil serba lengkap, Honda NT1100 menawarkan pelbagai ciri-ciri yang menarik. Antaranya termasuklah lima pilihan mod tunggangan (URBAN, RAIN and TOUR, plus 2 customisable USER modes), Honda Selectable Torque Control (HSTC), Wheelie Control, dan sistem brek ABS dua saluran.

Model tersebut seterusnya dilengkapi ciri-ciri standard seperti skrin penghadang angin boleh laras, kotak bagasi sisi, ‘heated grips’, tongkat tengah, ‘cruise control’, pengecas USB dan ACC, panel instrumen TFT 6.5 inci (touch screen, full colour) dengan teknologi sambungan Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem lampu LED sepenuhnya (plus self-cancelling indicators) dan lampu kecemasan Emergency Stop Signals (ESS).

Honda NT1100 2022 turut menawarkan tiga pilihan pek aksesori asli yang merangkumi Urban Pack, Touring Pack dan Voyage Pack, maklumat selanjutnya seperti di bawah.

  • URBAN PACK (50L top box with inner bag, comfort back rest, 4.5L tank bag)
  • TOURING PACK (Rider / pillion comfort seats, comfort pillion footpegs and fog lights)
  • VOYAGE PACK (50L top box with inner bag, comfort back rest, 4.5L tank bag, rider / pillion comfort seats, comfort pillion footpegs and fog lights).