Pengeluar motosikal dari negara jiran iaitu GPX Thailand kini memperkenalkan model kapcai terbaharu GPX Rock 125 2022 untuk pasaran Greece. Model bergaya sporty itu sebenarnya diedarkan oleh KSR Hellas (member of KSR Group), yang sebelum ini turut melancarkan model moped Malaguti Spectre GP 125 2022 (WMoto F15 versi 125cc).
GPX Rock 125 merupakan model yang sama seperti mana model GPX Rock Metal di pasaran Thailand, namun berbeza dari segi kapasiti enjinnya. GPX Rock 125 dilengkapi enjin bersesaran 125cc (4-stroke, 1-cylinder, SOHC, air-cooled), bersama-sama sistem suntikan bahan api GPX-Fi dan kotak gear empat kelajuan, di samping bertaraf Euro 5.
Model kapcai itu didatangkan dengan tiga pilihan warna yang menarik, namun ketika ini harga jualannya belum diumumkan. Rangkaian spesifikasi dan ciri-ciri yang melengkapi GPX Rock 125 ini boleh dikatakan impresif, antaranya sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital LED dengan butang ADJ menggunakan sentuhan lembut, suis kunci berpusat dengan ciri keselamatan, dan termasuklah bakul kepit pada bahagian depan.
Di bahagian suspensi, ianya merupakan fork depan teleskopik, sementara di bahagian belakang ialah sepasang penyerap hentak YSS dengan tabung gas. Melengkapkan lagi model kapcai itu ialah brek cakera depan 220 mm, rim aloi sporty 17 inci, penggunaan rantai DID 428D, rekaan ekzos yang elegan, dan tangki petrol dengan kapasiti 4.0 liter.