Model touring offroad Yamaha WR155R mula diperkenalkan di pasaran Indonesia sejak tahun 2019 yang lalu. Kini pada tarikh 06hb. September 2022 baru-baru ini, ianya tampil dengan skim warna terbaharu Yamaha Black dan Yamaha Blue. Harga yang ditawarkan ialah sebanyak Rp. 38,060,000, bersamaan RM 11,514.56 berdasarkan kadar semasa.
Yamaha WR155R merupakan sebuah jentera penjelajah, dikuasakan enjin 155cc (liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valves, VVA) dengan sistem transmisi enam kelajuan. Kuasa yang dihasilkannya mencapai 16.49hp @ 10,000rpm dengan tork 14.3Nm @ 6,500rpm. Untuk perjalanan yang lebih jauh, tangki bahan apinya tampil dengan kapasiti 8.1 liter.
Yamaha WR155R dibangunkan di atas kerangka Semi Double Cradle, dengan padanan fork depan teleskopik 41 mm dan suspensi belakang monoshock boleh laras (Link-Type Monocross With Gas, Oil & Adjustable Preload). Brek cakera depan 240 mm, belakang 220 mm, rim depan 21 inci dan belakang 18 inci, melengkapkan lagi spesifikasinya.
Tinggi tempat duduk Yamaha WR155R berada pada paras 880 mm, dan jarak kelegaan tanah minimum ialah 245 mm. Ciri-ciri menarik lain pada model itu termasuklah paparan panel meter digital LCD pelbagai informasi dan hazard lamp. Berat keseluruhan jentera yang tahan lasak itu hanya 134 kg, menjadikan tunggangannya bertenaga dan lincah.
Selain daripada pasaran Indonesia, Yamaha WR155R turut ditawarkan oleh Yamaha di pasaran Thailand dan Filipina. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum ada sebarang maklumat sama ada ianya akan turut dilancarkan oleh HLYM. Namun jika dilancarkan di pasaran Malaysia, angka jualannya mungkin tidak semeriah model-model yang lain.