Yamaha YZF-R3 2023 di pasaran USA tampil unik dengan pilihan warna Phantom Purple, harga $5,499.00

Untuk pasaran USA, Yamaha baru saja memperkenalkan model sports Yamaha YZF-R3 2023 terbaharu, dengan tiga pilihan warna menarik. Bagi warna Team Yamaha Blue dan Midnight Black, ianya merupakan pilihan warna terdahulu yang dibawakan daripada musim 2022, manakala warna Phantom Purple pula ialah warna terbaharu yang unik.

Bagaimanapun dari segi spesifikasi teknikal, Yamaha YZF-R3 2023 masih kekal seperti mana model sebelumnya, tanpa sebarang perubahan terkini. Harga jualan untuk model tersebut adalah sebanyak $5,499.00, bersamaan nilai RM 24,415.56 berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa. Nilai tawaran harga seperti itu boleh dikatakan berpatutan.

Kita imbas kembali spesifikasi Yamaha YZF-R3 2023, di mana ianya bersesaran 321cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, inline twin-cylinder; 4-valves percylinder) dengan kotak gear enam kelajuan. Jumlah kuasa dan tork tidak dipaparkan, namun ianya tentu sama dengan model di pasaran Eropah iaitu 42PS @ 10,750rpm dan 29.5Nm @ 9,000rpm.

Spesifikasi menarik lainnya ialah fork depan USD, suspensi belakang mono (adjustable preload), brek cakera depan dan belakang dengan ABS, tangki petrol 14 liter, ketinggian pelana 780 mm, dan untuk cengkaman terbaik, tayar depannya ialah Dunlop Sportmax GPR-300F (110/70-17) dan tayar belakang Dunlop Sportmax GPR-300R (140/70-17).

Akhir sekali, Yamaha YZF-R3 2023 turut hadir dengan paparan instrumen digital moden yang menawarkan pelbagai maklumat penting, lampu depan dan belakang LED, aspek tunggangan yang ergonomik, tahap aerodinamik yang telah dipertingkatkan, dan jumlah berat hanyalah 169 kg (wet weight). Berikut ialah paparan galeri menariknya, saksikan.