Kawasaki Ninja ZX-10R ABS KRT Edition 2023 rasmi dilancarkan di pasaran Indonesia, dengan harga jualan sebanyak Rp. 549,000,000, bersamaan RM 165,203.94 mengikut nilai mata wang semasa. Model berkenaan hanya ditawarkan dalam satu pilihan warna KRT Edition, skim warna KRT terbaharu bagi menggantikan skim warna KRT 2022.
Berdasarkan informasi di dalam laman sesawang Kawasaki Motor Indonesia, spesifikasi teknikal Kawasaki Ninja ZX-10R ABS KRT Edition 2023 kekal sama seperti mana model tahun sebelumnya. Antara ciri menariknya ialah sistem penyambungan ke telefon pintar yang membolehkan instrumentasi warna TFT pada panel meter digital model tersebut.
Imbas kembali spesifikasi Ninja ZX-10R generasi baharu ini, ianya tampil dengan wajah baharu yang lebih agresif, bersama sepasang winglet yang diintegrasikan ke dalamnya. Wajah depan yang aerodinamik dan bercirikan perlumbaan itu memiliki sepasang lampu LED yang kompak, sistem intake Ram Air terbaharu dan windshield yang lebih tinggi.
Beralih ke bahagian sistem penjana kuasa, ianya merupakan enjin 998cc (liquid-cooled, 4-stroke, In-Line Four, DOHC, 16 valves) dengan sistem transmisi enam kelajuan. Enjin bertaraf Euro 5 itu kini lebih bersih, namun kekal berkuasa dengan keluaran maksimum 203PS @ 13,200rpm (213PS with RAM Air) dan tork puncak 114.9Nm @ 11,400rpm.
Untuk pengendalian cemerlang yang memberi fokus kepada litar, Ninja ZX-10R 2023 ini dilengkapi sistem suspensi berprestasi tinggi, di samping dilengkapi dengan sistem brek depan daripada Brembo dengan cakera berkembar 330 mm, untuk tahap keselamatan terbaik. Sistem brek depan dan belakang kedua-duanya turut dilengkapi sistem ABS.
Spesifikasi lain yang melengkapinya ialah air-cooled oil cooler baharu, mod tunggangan Sport, Road, Rain dan Rider (manual), paparan instrumen digital TFT, sistem Electronic Cruise Control dan lencana River Mark, pertama kali digunakan pada model tanpa enjin supercas. Adakah Modenas akan turut melancarkan model ini untuk pasaran Malaysia?