Boon Siew Honda hari ini dengan rasminya melancarkan model naked Honda CB250R 2022 terbaharu untuk pasaran Malaysia, dengan dua pilihan warna menarik iaitu Candy Chromosphere Red dan Mat Gun Powder Black Metallic. Harga jualan asas yang telah ditetapkan pula ialah sebanyak RM 23,999.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan), dengan jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km (mana yang terdahulu).
Honda CB250R ini buat pertama kalinya diperkenalkan di pasaran Malaysia pada tahun 2018, dan kemudiannya telah menerima kemaskini terakhir pada tahun 2019. Kini untuk musim 2022, Honda CB250R telah hadir dengan beberapa naik taraf baharu yang lebih menarik, yang mana ianya kini didatangkan sistem Assist & Slipper Clutch dan paparan panel meter digital LCD baharu dengan penunjuk gear yang jelas dan mudah dilihat.
Honda CB250R 2022 seterusnya turut dilengkapi fork depan jenis upside-down Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm baharu, untuk prestasi tunggangan yang lebih baik dan pengambilan selekoh yang lebih agresif. Sistem suspensi belakang pula merupakan jenis monoshock dengan pelarasan prabeban lima tahap (5-step spring preload adjustment), untuk tunggangan yang mantap terutama ketika membawa beban.
Beralih ke bahagian brek, cakera brek depan didatangkan dalam saiz 296 mm (hubless floating disc with radial-mount Nissin 2-piston caliper), sementara di bahagian belakang ialah cakera 220 mm dengan kaliper piston tunggal. Sistem brek cakera itu kini lengkap dengan ABS dual-channel yang dikawal secara dinamik oleh IMU (Inertial Measurement Unit), untuk memastikan daya breknya diagihkan sama rata antara roda di hadapan dan belakang, serta meminimumkan lonjakan roda belakang untuk tunggangan meyakinkan.
Honda CB250R 2022 kekal dikuasakan enjin bersesaran 250cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC) dengan padanan transmisi enam kelajuan, yang menawarkan kuasa maksimum 27.2hp (20.3kW) @ 9,500rpm dengan janaan tork 23.4Nm @ 7,750rpm, yang menjamin keseronokan tunggangan model naked tersebut. Dengan kapasiti tangki bahan api 10.1 liter, berat keseluruhan model naked itu berada pada paras hanya 144 kg (curb weight).
Artikel berkaitan :
- Honda CB250R 2019 ditawarkan di pasaran Malaysia
- Model Neo Sports Cafe terbaharu Honda CB300R 2022 rasmi diperkenalkan di pasaran Eropah