Honda CB250R 2019 ditawarkan di pasaran Malaysia

Model ‘Neo Sports Café’ Honda CB250R pada mulanya diperkenalkan di pasaran Malaysia oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) dalam tahun 2018. Kemudiannya pada 16hb. Mei 2019, versi kemaskini terbaharu telah dilancarkan, dalam tiga pilihan warna iaitu Candy Chromosphere Red, Graphic Black dan Mat Crypton Silver Metallic.

Menurut BSH, bahagian luaran Honda CB250R 2019 telah menerima penambahbaikan lebih sporty, antaranya lampu depan bulat telah disepadankan dengan fork depan berwarna gangsa yang lebih menarik. Bagi model berwarna Candy Chromosphere Red pula, ianya turut didatangkan rim roda dengan kemasan warna gangsa yang menonjol.

Honda CB250R yang dilengkapi sistem brek ABS ini seterusnya didatangkan ciri-ciri bernilai seperti sistem lampu LED sepenuhnya, paparan panel meter digital LCD, fork depan SHOWA jenis upside-down, suspensi belakang boleh laras (SHOWA Monoshock Damper, Pro-Link Swingarm) dan tangki petrol dengan kapasiti maksimum 10.1 liter.

Enjin bersesaran 250cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC) dengan padanan transmisi enam kelajuan menghasilkan kuasa maksimum 27.2hp (20.3kW) @ 9,000rpm dan tork 23.3Nm @ 8,000rpm, yang menjamin keseronokan tunggangan model naked Honda CB250R 2019 ini. Berat motosikal berada pada paras hanya 145 kg (curb weight).

Untuk pasaran Malaysia, Honda CB250R 2019 didatangkan dalam dua tanda harga asas iaitu RM 22,999.00 untuk model berwarna Graphite Black dan Mat Crypton Silver Metallic, dan RM 23,499.00 untuk model berwarna Candy Chromosphere Red. Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan.