Yamaha MT-15 2022 kini terima kemaskini warna baharu di pasaran Malaysia, harga meningkat kepada RM 12,298.00

Jentera naked Yamaha MT-15 2022 baru saja diperkenalkan di pasaran Malaysia, kini tampil dengan tiga skim warna terbaharu yang lebih sporty dan segar iaitu Cyan Storm, Icon Blue dan Midnight Black. Harga asasnya bagaimanapun kini naik sedikit daripada harga terdahulu RM 11,988.00, kepada RM 12,298.00 (naik sebanyak RM 310.00).

Aspek spesifikasi teknikal pula kekal tidak berubah, tanpa tambahan sistem Yamaha Y-Connect dan sistem brek dengan ABS seperti mana model yang ditawarkan di pasaran India. Yamaha MT-15 2022 dilengkapi enjin bersesaran 155cc (liquid-cooled, SOHC, 4-valves, VVA) dengan padanan transmisi 6-kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch.

Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin berkenaan mencapai 19hp @ 10,000rpm, dengan tork maksimum 14.7Nm @ 8,500rpm. Jentera street naked tersebut mempunyai kapasiti tangki petrol maksimum 10 liter, dengan berat hanya 133 kg (wet weight). Ianya turut dilengkapi fork depan jenis terbalik dan sistem brek cakera depan dan belakang.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Yamaha MT-15 2022 termasuklah casis Deltabox dengan lengan ayun aluminium, panel meter digital LCD, lampu depan LED mono yang digandingkan dengan lampu posisi berkembar, roda depan dan belakang dalam ukuran 110/70-R17 dan 140/70-R17 masing-masing, serta ketinggian tempat duduk 810 mm.

Untuk pasaran Malaysia, setiap pembelian Yamaha MT-15 2022 ini akan turut diberikan kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma. Selain itu untuk ketenangan minda pemiliknya, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) selaku pengedar rasminya turut menawarkan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km, yang mana lebih awal.