Modenas dan Kawasaki akan membangunkan Super Moped serba baharu sepenuhnya, prototaip lama tidak lagi relevan

Antara berita menarik yang diumumkan oleh Modenas kepada pihak media kelmarin ialah mengenai pelancaran model sports 250cc empat silinder Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 untuk pasaran Malaysia, yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan. Pada masa yang sama, Modenas turut mengumumkan berita mengenai model Super Moped.

Modenas sejak tahun 2014 yang lalu telah membangunkan sebuah model super moped serba baharu, yang mana enjin model berkenaan telah dibangunkan dengan kerjasama sebuah universiti di Austria. Namun sayang sekali apabila pembangunannya mengambil masa yang terlalu lama, walaupun prototaip model tersebut hampir siap sepenuhnya.

Menurut Modenas kepada pihak media kelmarin di fasiliti pengeluaran mereka di Gurun, Kedah, pembangunan prototaip model Super Moped lama tersebut telah pun dihentikan kerana teknologinya yang tidak lagi relevan. Antaranya termasuklah enjinnya yang tidak lagi mampu memenuhi piawaian emisi Euro 4 yang terkini untuk pasaran negara kita.

Selanjutnya, Modenas mengatakan bahawa mereka akan tetap membangunkan sebuah lagi model Super Moped terbaharu, kali ini ianya akan dibangunkan dengan kerjasama dan kolaborasi dengan pihak Kawasaki. Namun tempoh pembangunan model tersebut mungkin akan mengambil masa, sekurang-kurangnya dalam tempoh sehingga 3 tahun.

Tambah Modenas lagi, syarikat nasional itu sememangnya memahami bahawa pasaran model Super Moped di Malaysia dan juga ASEAN adalah sangat besar. Oleh itu mereka mahu mengambil peluang tersebut untuk mengeluarkan model mereka sendiri, dan kali ini projek tersebut dikatakan mempunyai peluang cerah melalui penglibatan Kawasaki.

Jadi sememangnya jelas bahawa Modenas masih komited untuk mengeluarkan sebuah model Super Moped untuk pasaran Malaysia. Apa yang diharapkan ialah pembangunan model berkenaan akan menjadi kenyataan dalam tempoh beberapa tahun lagi, dengan enjin berkapasiti besar dan berkuasa, serta lengkap dengan pelbagai teknologi terkini.