Modenas pada hari ini bertempat di kilang mereka di Gurun, Kedah, telah mengadakan perjumpaan rasmi dengan pihak media. Melalui perjumpaan tersebut, pihak Modenas akhirnya telah mengesahkan bahawa model yang ditunggu-tunggu iaitu Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 akhirnya bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia mulai tahun depan.
Setakat ini, masih belum dapat dipastikan sama ada model yang akan dibawa masuk itu adalah model CBU atau CKD. Jika ianya model CBU, mungkin ianya hanyalah sebagai permulaan, sebelum model CKD menyusul. Model versi CKD pastinya akan ditawarkan pada harga yang lebih rendah, dan diharapkan ianya berada di bawah paras RM30k.
Kawasaki Ninja ZX-25R sebelum ini telah pun dilancarkan di beberapa pasaran negara jiran, seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina. Model tersebut juga ditawarkan di pasaran Jepun dan Hong Kong, termasuklah juga di pasaran Mauritius dan Mexico. Di pasaran Thailand, harga model itu adalah sebanyak THB 269,000 (RM 34,014.22).
Sementara itu, Modenas turut mengumumkan bahawa EMOS selaku pengedar rasmi Kawasaki di pasaran Malaysia bakal melancarkan empat buat model CKD baharu pada tahun ini. Keempat-empat model itu ialah Kawasaki Ninja 250 ABS, Kawasaki Ninja 250 Non-ABS, Kawasaki Z250 ABS, dan sebuah lagi model baharu di dalam kelas 650cc.
Satu lagi berita gembira ialah Modenas telah mengesahkan bahawa syarikat tersebut bersama-sama Kawasaki bakal membangunkan sebuah model supermoped terbaharu, dan ianya bakal menggantikan model supermoped terdahulu yang kini dikatakan tidak lagi relevan. Bilakah supermoped baharu itu akan muncul, sama-samalah kita tunggu.