Beberapa tahun sebelum pelancaran rasmi empat buah model moped popular iaitu Yamaha Y15ZR (2015), Honda RS150R (2016), Benelli RFS150i (2017) dan SYM VF3i (2018), pasaran Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan berita pembangunan enjin 150cc oleh Modenas, yang dibangunkan dengan kerjasama sebuah universiti di Austria.
Enjin tersebut dikatakan bakal digunakan untuk pengeluaran sebuah model moped terbaharu oleh Modenas, yang kemudiannya popular dengan nama panggilan Modenas GT150 dan Modenas Super Moped. Ketika itu ramai peminat motosikal tempatan yang tertanya-tanya bagaimanakah reka bentuk sebenar model Modenas Super Moped itu.
Akhirnya pada tahun 2017, spyshot pertama prototaip model tersebut telah pun berjaya dirakamkan ketika ianya sedang ditunggang uji di jalan raya. Ramai yang teruja melihat reka bentuknya, namun ada juga yang agak kurang berpuas hati kerana dikatakan tidak mampu memberikan cabaran kepada model Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R.
Kemudiannya pada Ogos 2017, spyshot lebih jelas Modenas Super Moped telah bocor di dalam internet dan media sosial, memperlihatkan reka bentuknya dengan lebih jelas mirip model produksi sebenar. Selepas itu dalam tempoh beberapa tahun seterusnya, semakin banyak gambar-gambar spyshot model tersebut terdedah di dalam internet.
Namun begitu ironinya ialah ketika model-model moped lain seperti Yamaha Y15ZR, Honda RS150R, Benelli RFS150i dan SYM VF3i mencatatkan prestasi jualan yang baik di pasaran tempatan, pelancaran rasmi Modenas Super Moped sehingga kini masih belum menjadi kenyataan. Sejak tahun 2013, tempoh 8 tahun telah pun berlalu pergi.
Entah berapa tahun lagi agaknya Modenas akan mengambil masa untuk melancarkan model yang ditunggu-tunggu itu. Ketika ini Yamaha telah pun melancarkan model terkini Yamaha Y16ZR, Benelli baru saja melancarkan model terbaharu Benelli R18i, dan Boon Siew Honda pula bakal muncul dengan model sensasi lagi berkuasa Honda Winner X.
Malah Suzuki juga akan membuat kemunculan semula dengan model Suzuki Belang R150 FI. Lebih mengejutkan dan juga boleh dikatakan sebagai suatu tamparan kepada Modenas ialah WMoto dan Aveta juga bakal melancarkan model moped masing-masing tidak lama lagi. Apa sebenarnya yang berlaku terhadap model Modenas Super Moped?
Sehingga kini antara persoalan terbesar mengenai status Modenas Super Moped ialah adakah ianya bakal dilancarkan di pasaran Malaysia? Jika ianya akan dilancarkan nanti, bilakah pula tarikh pelancarannya? Bak kata pepatah Inggeris, Better Late Than Never. Namun adakah Modenas Super Moped masih relevan dengan maksud pepatah itu?