Malaguti yang berpengkalan di Bologna, Itali, pada penghujung tahun 2021 yang lepas telah memperkenalkan sebuah model skuter kompak terbaharu yang bukan saja tampil sporty, malah dilengkapi enjin yang berkuasa. Model tersebut diberikan nama Malaguti Mission 200, dan hadir dengan dua pilihan warna menarik Neve White dan Corsa Red.
Malaguti Mission 200 dikuasakan enjin dalam sesaran 181cc (1 cylinder, 4-stroke, water cooled) yang dipadankan dengan sistem transmisi CVT. Enjin berkenaan menghasilkan kuasa maksimum 17.3hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 15.5Nm @ 7,750. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 7.0 liter yang pastinya sudah memadai.
Dengan berat 154 kg, Malaguti Mission 200 2022 dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum 106 km/j. Sementara itu, tahap penggunaan bahan apinya hanyalah 3.3 liter sahaja bagi setiap 100 km. Melengkapkan lagi spesifikasi teknikalnya ialah fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock dan brek cakera di depan dan belakangnya.
Di bahagian roda, Malaguti Mission 200 dilengkapi tayar depan dalam siri 120/70-R13 dan tayar belakang dalam siri 130/70-R13, yang turut menyumbang kepada ketinggian tempat duduk 810 mm. Untuk pasaran Eropah, Malaguti turut menawarkan Mission 125 yang dilengkapi enjin lebih kecil berkapasiti 124cc, dengan kelajuan maksimum 95 km/j.