Yamaha XMAX 125 2022 terima pilihan warna terbaharu Icon Blue di pasaran Eropah

Untuk musim 2022, Yamaha Motor Europe telah memperkenalkan Yamaha XMAX 125, yang kini telah menerima pilihan warna terbaharu Icon Blue. Pilihan warna Sonic Grey pula merupakan pilihan warna yang dibawakan daripada model tahun lepas. Beralih ke bahagian spesifikasi, ianya masih kekal sama dan tiada sebarang perubahan terkini.

Yamaha XMAX 125 2022 dilengkapi enjin bersesaran 124cc (4-valves, 4-stroke, Single cylinder, Liquid-cooled, SOHC, EURO5) dengan teknologi VVA dan dipadankan dengan sistem transmisi automatik. Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 12hp @ 8,000rpm dengan tork 11Nm @ 6,250rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 13 liter.

Pelbagai ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Yamaha XMAX 125 2022 termasuklah rekaan badan kompak dengan posisi tunggangan santai, sistem Start & Stop yang lebih ekonomi dan mesra alam, ruang di bawah tempat duduk yang luas dengan muatan dua buah topi keledar bermuka penuh, brek cakera depan dan belakang, dan sistem ABS.

Selain itu model tersebut turut dilengkapi Traction Control System, fork depan bercirikan motosikal dengan travel 110 mm, tayar depan berukuran 15 inci, tayar belakang 14 inci, sistem lampu LED sepenuhnya, sistem kunci Smart Key (keyless ignition), panel meter bergaya dengan paparan LCD yang besar, dan port 12V untuk mengecas telefon bimbit.

Akhir sekali, Yamaha XMAX 125 2022 ini didatangkan handlebar dengan ciri pelarasan, skrin penghadang angin dengan dua posisi, tempat duduk dengan jarak ketinggian 800 mm, jarak kelegaan bumi minimum 140 mm, dan berat (wet weight) model skuter maxi itu hanyalah 166 kg. Untuk anda, saksikan galeri gambar-gambar menariknya di bawah.