QJ Motor SRT800 dan SRT800X 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas bermula dari RM 39,888.00

Selepas pelancaran model terbaharu QJ Motor SRK600 2022, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. pada hari ini dengan rasminya melancarkan pula model adventure terbaharu QJ Motor SRT800 2022. Model itu didatangkan dalam dua pilihan varian iaitu Standard (SRT800) dan X (SRT800X), dengan harga jualan asas dari RM39,888.00 untuk varian Standard dan RM 42,888.00 untuk varian X (tidak termasuk insuran dan cukai jalan).

QJ Motor SRT800 dilengkapi enjin bersesaran 754cc (2 silinder sebaris, 8 injap, DOHC, penyejukan cecair) dengan padanan sistem transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin itu kemudiannya menghasilkan prestasi maksimum 75.1hp pada 8,500rpm dengan tork setinggi 67Nm @ 6,500rpm. Sebagai sebuah motosikal kembara, ianya memiliki tangki bahan api berkapasiti 18.5 liter untuk jarak perjalanan lebih jauh.

SRT800 dan SRT800X mempunyai spesifikasi teknikal yang sama, antaranya termasuk fork depan jenis terbalik, suspensi belakang tunggal, sistem brek cakera dengan kaliper Brembo dan ABS dwi-saluran, paparan panel meter TFT 5.0 inci dengan tiga mod iaitu siang, malam dan auto, sistem lampu LED, port USB untuk pengecasan telefon pintar semasa menunggang, dan model itu turut dilengkapi dengan set lengkap coocase.

Antara kedua-dua varian Standard dan X, SRT800 ini mempunyai beberapa perbezaan yang tersendiri. Bagi varian Standard, ianya menggunakan tayar bersaiz 120/70-R17 (di bahagian depan) dan 180/55-R17 (di bahagian belakang) dengan rim aloi, dan varian X pula menggunakan tayar 110/80-R19 (hadapan) dan 150/70-R17 (belakang) dengan rim jenis jejari. Tinggi tempat duduk untuk varian Standard ialah 810 mm dan untuk varian X ialah 835 mm. Berat masing-masing ialah 254 kg (Standard) dan 260 kg untuk varian X.

QJ Motor SRT800 2022 boleh di dapati di mana-mana pengedar sah MForce di seluruh Malaysia mulai pertengahan bulan Julai ini. Dengan setiap pembeliannya, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu). Tidak dilupakan ialah perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd., untuk ketenangan minda pemiliknya.