QJ Motor SRK600 2022 kini dengan rasminya dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas hanya RM35,888.00

Model naked terbaharu QJ Motor SRK600 2022 kini dengan rasminya telah dilancarkan di pasaran Malaysia. Didatangkan dengan dua pilihan warna yang menarik Pearl White dan Flaming Red, harga jualan asas yang ditetapkan untuk model berkenaan hanyalah RM 35,888.00, dan harga itu tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

QJ Motor SRK600 dikuasakan enjin 4-silinder sebaris, 16-injap dengan teknologi DOHC yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 80.5hp @ 11,000rpm, dengan janaan tork
maksimum 55Nm @ 8,000rpm. Enjin dengan bunyi deruman garang dan mengaum itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch.

Asas QJ Motor SRK600 diperbuat daripada rangka jenis trellis yang ringan, seterusnya digandingkan dengan fork depan teleskopik terbalik Marzocchi dan suspensi belakang Kayaba (KYB). Sistem brek cakera hadapan dan belakangnya pula dilengkapi dengan ABS dwi-saluran dan kaliper Brembo untuk keselamatan maksimum semasa membrek.

Selain daripada reka bentuk yang moden dan sporty, QJ Motor SRK600 turut memiliki ciri-ciri yang terkini dan memudahkan penunggang. Antaranya ialah sistem tanpa kunci pintar di mana penunggang cuma perlu menyimpannya di dalam poket, dan memulas konsol motosikal untuk menghidupkan enjin. Sistem itu juga memberikan kelebihan dari segi keselamatan kerana hanya boleh digunakan dalam jarak sekitar 3 meter sahaja.

Dari segi panel paparan pula, QJ Motor SRK600 menggunakan jenis TFT bersaiz 5 inci, di mana penunggang diberi tiga mod pilihan iaitu siang, malam atau pun auto. Bagi mod auto, skrin ini akan berubah mengikut keamatan atau kecerahan cahaya tanpa mengira cuaca atau kelajuan semasa menunggang. Skrin TFT yang terang dan jelas ini sangat membantu dalam memaparkan maklumat yang diperlukan dengan cepat dan tepat.

QJ Motor SRK600 memiliki sistem lampu LED sepenuhnya yang membantu menerangi jalan raya dengan baik terutamanya ketika gelap. Kemudiannya untuk tunggangan jauh, SRK600 mempunyai tangki bahan api bersaiz 15 liter. Tinggi tempat duduknya berada pada paras hanya 800 mm, manakala berat keseluruhan jentera naked itu ialah 229 kg.

QJ Motor SRK600 ini akan tiba di pengedar sah MForce mulai pertengahan Jun depan. Dengan setiap pembelian, pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu), juga termasuk perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara di atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.