Model bergaya retro Yamaha XSR155 2022 baru saja diperkenalkan di pasaran negara jiran Thailand, kali ini tampil dengan tiga skim pilihan warna terbaharu. Berbanding versi tahun sebelumnya, model Sport Heritage itu kini didatangkan dengan tiga pilihan warna yang lebih menarik iaitu Mat Blue, Classic Black dan juga WGP 60th Anniversary.
Spesifikasi teknikal pula kekal sama, antaranya dilengkapi enjin 155cc (Single Cylinder, Liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4 valves, VVA) dengan transmisi 6-kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch untuk corak tunggangan yang lebih mudah. Jumlah kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 19hp @ 10,000rpm dengan tork 14.7Nm @ 8,500rpm.
Seterusnya model tersebut dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti penuh 10 liter, manakala berat motosikal hanya 134 kg (wet weight). Ketinggian tempat duduk berada pada paras 810 mm, dengan jarak kelegaan tanah minimum 170 mm. Dimensi panjang x lebar x tinggi untuk keseluruhan motosikal ialah 2,005 mm X 805 mm X 1,080 mm.
Di bahagian suspensi, Yamaha XSR155 dilengkapi fork depan jenis upside-down yang bergandingan dengan suspensi belakang jenis monoshock, sementara roda depan dan belakangnya masing-masing hadir dalam saiz 110/70-R17 (tubeless) dan 140/70-R17 (tubeless). Sistem brek disempurnakan oleh brek cakera depan dan juga belakang.
Yamaha XSR155 merupakan sebuah model yang kental dengan ciri-ciri bergaya klasik, yang mana ianya hadir dengan lampu depan dan belakang LED berbentuk bulat, panel meter digital LCD yang juga berbentuk bulat, tempat duduk bergaya retro yang selesa dan gaya tunggangan santai yang sesuai untuk perjalanan jarak dekat atau pun jauh.
Untuk pasaran Thailand, Yamaha XSR155 2022 dalam dua pilihan warna Mat Blue dan Classic Black boleh dimiliki dengan harga THB 96,000 (RM 12,118.48), manakala untuk warna WGP 60th Anniversary, harganya ialah THB 98,000 (RM 12,370.95). Sementara itu untuk pasaran Malaysia, belum ada maklumat bilakah model ini akan dilancarkan.