Model sport bike Suzuki GSX250R 2022 baru saja diperkenalkan untuk pasaran China baru-baru ini, dan model tersebut kini tampil dengan enam skim pilihan warna baharu yang lebih sporty dan segar. Untuk anda yang mungkin belum melihat gambar-gambar menarik model berkenaan, anda boleh saksikannya dalam paparan galeri di bawah.
Aspek spesifikasi teknikalnya bagaimanapun kekal tidak berubah, termasuklah enjinnya yang bersesaran 248cc (liquid-cooled, 4-stroke, 2-cylinder, SOHC, 2-valve) dengan kuasa maksimum 24.67hp @ 8,000rpm dan tork setinggi 23.4Nm @ 6,500rpm. Model seberat 178 kg itu kemudiannya dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 15 liter.
Setakat ini untuk pasaran Malaysia, masih belum ada sebarang maklumat sama ada ianya akan turut dilancarkan pada masa akan datang. Jika ianya dilancarkan di pasaran Malaysia nanti, penetapan harga yang lebih rendah mungkin akan membantu sasaran jualannya, kerana persaingan di dalam segmen sport bike 250cc adalah agak sengit.