EMOS kini telah mempunyai rangkaian 20 wakil pusat servis Kawasaki di seluruh negara

Modenas hari ini rasmi mengumumkan bahawa anak syarikatnya iaitu EMOS (Edaran Modenas Sdn Bhd) telah meluaskan lagi rangkaian wakil pusat servisnya di bahagian Sabah, wilayah Tengah dan Utara negara. Dengan itu rangkaian pusat servis Kawasaki di bawah EMOS kini meningkat kepada 20 wakil, berbanding 13 wakil sebelumnya.

Bermula pada tarikh 01hb. April 2022 yang lalu, EMOS dengan rasminya telah menjadi pengedar eksklusif baharu yang sah untuk Kawasaki di pasaran Malaysia, berikutan tamatnya tempoh peralihan selama enam bulan bersama KMSB Motors Sdn. Bhd. Oleh itu EMOS melalui 20 wakil pusat servis yang dilantik setakat ini, akan terus mengedar dan menyediakan perkhidmatan selepas jualan, alat ganti dan aksesori untuk model-model Kawasaki yang ditawarkan di pasaran Malaysia sebelum dan selepas ini.

Sementara itu, Modenas tidak lama lagi akan memperkenalkan barisan model-model terbaharu daripada Kawasaki dan pelancaran bilik pameran eksklusif Kawasaki secara berperingkat untuk pasaran Malaysia. Untuk maklumat selanjutnya, di bawah berikut ialah apa yang diperkatakan oleh pihak pengurusan Modenas mengenai penambahan tujuh wakil pusat servis terbaharu Kawasaki oleh EMOS di seluruh negara ketika ini :

“Kami berbesar hati dengan adanya KMSB Solutions sebagai salah satu daripada wakil pusat servis sah bagi wilayah Tengah, pastinya bekas pengedar motosikal Kawasaki ini lebih berpengetahuan dan berpengalaman dalam mengendalikan model-model jenama ini. Dengan ini kami dapat memastikan kesinambungan yang berterusan dalam memenuhi keperluan dan jenama Kawasaki di seluruh negara.” kata Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas.

Kashiwagi Yusaku, Ketua Pegawai Pemasaran Modenas berkata “pelantikan tujuh wakil pusat servis sah baharu menunjukkan penerimaan rakan kongsi perniagaan kami untuk meneruskan perkhidmatan dan pemasaran jenama Kawasaki di Malaysia. Untuk menamatkan fasa pertama rancangan Syarikat dan komitmen kami terhadap pangkalan pelanggan yang sedia ada dan berkembang di Malaysia, EMOS bersedia untuk mewujudkan rangkaian wakil pusat servis sah Kawasaki yang lebih luas di seluruh negara dengan 20 lagi tambahan baharu menjelang tahun depan.” Bagi memenuhi keperluan pelanggan Kawasaki di seluruh negara, senarai pengedar yang sah akan sentiasa dikemaskini di laman web rasmi https://www.kawasaki.com.my/.

Untuk pertanyaan, pemilik motosikal Kawasaki boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kawasaki di 1-800-880-008 atau WhatsApp Kawasaki Careline di +6019-570 8135. Di bawah berikut ialah senarai penuh 20 wakil pusat servis Kawasaki yang sah di seluruh negara, untuk rujukan semua pemilik motosikal Kawasaki di pasaran tempatan.