Benelli Leoncino 800 2022 terima kemaskini baharu dan enjin patuh piawaian emisi Euro 5

Untuk musim 2022, model yang bergaya klasik moden Benelli Leoncino 800 kini tampil dengan beberapa kemaskini baharu, menjadikan penampilannya kini lebih menarik dan segar. Penampilan kosmetik itu boleh dikatakan minimum sahaja, melibatkan warna dan grafik, kekemasan enjin, visor lampu depan baharu dan rekaan tempat duduk baharu.

Di bahagian enjin, Benelli Leoncino 800 2022 kekal dikuasakan enjin bersesaran 754cc dalam konfigurasi dua silinder, yang kini telah mematuhi piawaian emisi Euro 5. Dengan padanan transmisi enam kelajuan, kuasa yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai paras 76.2hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, tangki bahan api model yang kelihatan gagah itu hadir dengan kapasiti 15 liter.

Perincian seterusnya pada Benelli Leoncino 800 termasuklah sistem lampu LED, panel meter digital TFT pelbagai info, fork depan USD dengan diameter 50 mm dan travel 130 mm, penyerap hentak belakang monoshock (central adjustable monoshock in the spring preload and rebound damping), dan sistem brek di depan dan belakang jenis cakera.

Untuk model sebelumnya, kaliper brek tersebut merupakan jenis Brembo, namun ianya kini telah digantikan dengan kaliper brek Benelli sendiri. Namun menurut Benelli, untuk pasaran lain, Benelli Leoncino 800 2022 ini masih dilengkapi sistem brek Brembo, dan ianya turut dilengkapi sistem suspensi Marzocchi versi baharu untuk pilihan lebih luas.

Di bahagian roda, Leoncino 800 berdiri di atas tayar depan yang bersaiz 120/70-17 dan tayar belakang bersaiz 180/55-17. Untuk pasaran Eropah, model tersebut didatangkan dengan tiga pilihan warna menarik Grey, Green dan Brown. Untuk sesetengah pasaran di Eropah, versi 35kW (47hp) turut ditawarkan sebagai pilihan kepada peminat di sana.