Yamaha NMAX 155 ABS 2022 kini diperkenalkan di pasaran Jepun, harga bersamaan RM 13,678.06

Model skuter terbaharu Yamaha NMAX 155 ABS 2022 akhirnya rasmi diperkenalkan di pasaran domestik Jepun, dengan harga jualan sebanyak 407,000 Yen, bersamaan nilai RM 13,678.06 mengikut kadar tukaran mata wang semasa. Model tersebut ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Matte Gray, Matte Dark Green dan Matte Dark Gray.

Yamaha NMAX 155 ABS generasi baharu sebelum ini telah pun dilancarkan di pasaran negara-negara ASEAN termasuk Malaysia, dan juga di pasaran Eropah. Untuk pasaran Jepun, versi 125cc untuk model itu telah pun diperkenalkan lebih awal berbanding versi 155cc, dengan spesifikasi dan ciri-ciri yang sama, kecuali kapasiti enjin yang berbeza.

Untuk pasaran Jepun, Yamaha NMAX 155 ABS 2022 ditawarkan dalam varian premium sahaja. Ianya dilengkapi enjin Blue Core 155cc VVA (liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve) dengan kuasa maksimum 15PS @ 8,000rpm, bersama-sama tork puncak 14Nm @ 6,500rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi automatik.

Kita imbas kembali ciri-ciri baharu yang melengkapi Yamaha NMAX 155 ABS ini, seperti rangka rekaan baharu, Yamaha Y-Connect, Smart Key, TCS (Traction Control System), Smart Motor Generator, sistem Stop & Start, ruang bagasi 23 liter, soket pengecas DC 12V, panel meter digital LCD sepenuhnya, dan juga lampu LED depan dan belakang.

Selain itu, model tersebut turut dilengkapi tangki bahan api maksimum 7.1 liter, sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS, tayar depan dan belakang dalam ukuran 110/70-13 dan 130/70-13, dan tinggi tempat duduk 765 mm. Yamaha NMAX 155 ABS 2022 akan berada di pasaran Jepun secara rasmi mulai bulan Mei 2022 akan datang.