Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dijangka bakal melancarkan sebuah model kapcai terbaharu untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi, berdasarkan paparan imej spyshot sebuah model motosikal yang sedang ditunggang uji. Menurut informasi dari Nik Zayne dan pemilik asal gambar Alongz Aries, model itu ditemui di Sungai Buloh, Selangor.
Untuk makluman, kilang HLYM terletak di Sungai Buloh, dan kebanyakan penampakan model-model baharu HLYM sebelum ini ditemui menjalani ujian jalan raya berdekatan kawasan tersebut. Berdasarkan imej spyshot itu juga didapati ianya sah model keluaran Yamaha, kerana rekaannya mirip dengan model Yamaha Sirius FI di pasaran Vietnam.
Di pasaran Vietnam, Yamaha Sirius FI dikuasakan enjin dalam sesaran 113.7cc (empat lejang, 2-injap, SOHC, sejukan udara, suntikan bahan api), dengan padanan kotak gear empat kelajuan. Kuasa maksimum yang dijana enjin itu mencapai 8.7PS @ 7,000rpm, dengan tork 9.5Nm @ 5,500rpm. Kapasiti penuh tangki bahan apinya ialah 4.0 liter.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model berkenaan termasuklah sistem penjana kuasa yang kini menggunakan AC power, membolehkan tahap keterangan lampu depan dan belakang lebih stabil dalam setiap putaran enjin. Jarum penunjuk tangki bahan api pula akan kekal pada paras sifar apabila enjin dimatikan, sehinggalah enjin dihidupkan.
Yamaha Sirius FI turut dilengkapi dengan ruang penyimpanan barang-barang yang luas di bawah tempat duduknya, yang boleh memuatkan sebuah topi keledar jenis separuh. Jika benar model tersebut bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, ianya bakal menjadi tawaran terbaharu HLYM, dengan harga berpatutan dan mampu milik.