Modenas Dominar D400 2022 versi touring serba lengkap dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi

Menurut sumber daripada blog Paultan.org, Modenas dijangka akan memperkenalkan versi touring serba lengkap untuk Modenas Dominar D400 2022 di pasaran Malaysia. Pelancaran model berkenaan mungkin akan berlangsung tidak lama lagi, antara bulan Mei atau Jun 2022. Namun kesahihan maklumat itu ketika ini belum dapat disahkan.

Modenas Dominar D400 2022 dengan kelengkapan touring serba lengkap itu dikatakan sama seperti model Bajaj Dominar 400 2022, yang diperkenalkan di pasaran India pada Oktober 2021. Antara ciri-cirinya termasuklah ‘Tall Visor’, ‘Hand Guard’, ‘USB Charging Port’, ‘Navigation Stay’, ‘Leg Guard’, ‘Engine Bash Plate’ dan ‘Carrier + Back Stopper’.

Di bahagian enjin, Modenas Dominar D400 2022 masih menawarkan spesifikasi yang sama seperti model sebelumnya, yang dilancarkan pada bulan September 2021. Enjin 373.3cc (single-cylinder, 4-stroke, DOHC, 4-valve, liquid-cooled, triple spark, FI) dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch itu menawarkan kuasa maksimum 40PS @ 8,650rpm, manakala tork maksimumnya mencapai angka 35Nm @ 7,000rpm.

Jika benar Modenas Dominar D400 2022 bakal dilancarkan dengan kelengkapan pakej touring serba lengkap, seperti mana dapat dilihat dalam paparan galeri di bawah, sudah tentu ianya amat dialu-alukan oleh ramai peminat model tersebut. Ini kerana ianya akan menjadikan aktiviti tunggangan @ pengembaraan jarak jauh lebih selesa dan praktikal.

Galeri : 2022 Bajaj Dominar 400