Yamaha hari ini rasmi memperkenalkan model naked Yamaha MT-25 ABS 2022 untuk pasaran domestik Jepun. Apa yang berubah kali ini ialah enjin dan sistem ekzos pada model berkenaan kini telah dinaik taraf, menjadikan pengeluaran emisinya lebih bersih dan patuh piawaian yang terkini. Pada masa yang sama, prestasi enjinnya kekal sama.
Perubahan lain ialah skim warna terbaharu, dalam tiga pilihan kesemuanya iaitu Gray, Blue dan Matte Dark Gray. Untuk pasaran Jepun, Yamaha MT-25 ABS 2022 ditawarkan dengan harga jualan sebanyak 632,500 Yen, bersamaan nilai RM 21,208.15 mengikut kadar semasa. Ianya akan berada di pasaran secara rasmi mulai tarikh 25hb. Mei 2022.
Beralih ke bahagian enjin, ianya bersesaran 249cc (water-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve) dengan padanan kotak gear enam kelajuan, yang menawarkan kuasa maksimum 35PS @ 12,000rpm dan tork 23Nm @ 10,000rpm. Berat motosikal itu mencapai 169 kg, dan hadir dengan tangki bahan api maksimum 14 liter untuk perjalanan yang lebih jauh.
Untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-25 2021 telah dilancarkan pada September 2021 yang lepas, dengan harga jualan asas sebanyak RM 21,500.00 sahaja (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Setakat ini belum diketahui bilakah Hong Leong Yamaha Motor akan memperkenalkan versi 2022 untuk model naked yang agresif ini.