Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) pada hari ini rasmi melancarkan Yamaha Y15ZR 2022 untuk pasaran Malaysia. Model moped yang popular dengan gelaran ‘Raja Jalanan’ itu kini didatangkan dengan empat skim warna dan corak grafik terbaharu iaitu Hijau, Cyan, Biru dan Kelabu. Harga jualan asasnya pula ialah sebanyak RM 8,498.00.
Harga berkenaan merupakan harga baharu, meningkat sedikit berbanding harga model terdahulu bagi musim 2020/2021, yang sebelum ini dijual dengan harga asas sebanyak RM 8,168.00. Melalui setiap pembelian, HLYM turut menawarkan kunci cakera Yamaha yang bernilai RM 100.00 secara percuma, untuk tahap keselamatan yang lebih terjamin.
Walaupun kini telah menerima skim warna baharu yang lebih sporty, spesifikasi teknikal Yamaha Y15ZR 2022 masih kekal sama seperti mana sebelumnya. Di bahagian enjin, model tersebut kekal dikuasakan enjin bersesaran 150cc (liquid-cooled, 4-stroke SOHC, single cylinder) dengan gandingan transmisi lima kelajuan. Presatsi maksimumnya pula berada pada paras 15.15hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 13.8Nm @ 7,000rpm.
Sebagai sebuah model moped yang bertaraf premium, ciri-ciri menarik yang melengkapi Yamaha Y15ZR 2022 ini termasuklah lampu depan LED, panel meter LCD yang terang, sistem brek cakera depan dan belakang yang mantap, tayar depan dan belakang dalam saiz 70/90-R17 dan 120/70-R17, dan tangki bahan api dengan kapasiti penuh 4.2 liter.
Yamaha Y15ZR 2022 seterusnya didatangkan dengan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km, yang mana tiba lebih awal. Dengan pelancaran versi 2022 ini, Yamaha Y15ZR bakal berentap dengan model moped yang sedang meningkat naik pada ketika ini iaitu Suzuki Raider R150 Fi, kerana harga asas kedua-duanya yang hampir sama.