Suzuki GSX-S150 2022 kini di pasaran Malaysia, harga asas RM 10,289.00

Pada tarikh 10hb. Mac 2022 baru-baru ini, Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. secara rasminya melancarkan sebuah model naked terbaharu Suzuki GSX-S150 2022. Model berkenaan tampil dalam dua pilihan warna iaitu Aura Yellow / Pearl Brilliant White dan Metallic Titan Blue, manakala harga jualan asasnya ditawarkan sebanyak RM 10,289.00 sahaja.

Untuk pasaran Malaysia, Suzuki GSX-S150 akan bersaing dengan model Yamaha MT-15 yang dijual dengan harga asas sebanyak RM 11,988.00. Sebuah lagi model menarik yang boleh menjadi saingannya ialah Modenas Pulsar NS200 ABS, yang dikuasakan enjin bersesaran 199.5cc, dengan harga jualan asas sebanyak RM 9,655.00 sahaja.

Suzuki GSX-S150 dilengkapi enjin bersesaran 147.3cc (twincam, 4 valve, DOHC, liquid cooled) yang menghasilkan kuasa maksimum 18.9hp @ 10,500rpm dan tork maksimum 14Nm @ 9,000rpm. Enjin berprestasi itu turut dilengkapi sistem suntikan bahan api ‘fuel injection’, dan kemudiannya digandingkan dengan sistem transmisi enam kelajuan.

Pelbagai ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Suzuki GSX-S150 ini termasuklah tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 11 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang tunggal, sistem brek cakera depan dan belakang, lampu depan LED, dan juga paparan meter digital LCD. Saiz tayar depan dan belakangnya ialah 90/80-17 dan 130/70-17.

Selain itu, model yang mempunyai berat hanya 133 kg (full weight) ini juga didatangkan dengan sistem kunci ‘Shutter Key Lock’ yang lebih selamat, di samping butang ‘Suzuki Easy Start System’ yang boleh menghidupkan enjin dengan sekali tekan sahaja. Paras ketinggian tempat duduk model naked yang bergaya sporty itu pula hanyalah 785 mm.