WMoto ES250i 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 13,888.00

WMoto Malaysia (MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.) hari ini rasmi melancarkan sebuah model skuter maxi terbaharu untuk pasaran tempatan, dan ianya dikenali dengan nama WMoto ES250i 2022. Tampil sporty, bergaya dan praktikal, model skuter tersebut tampil dengan tiga pilihan warna yang menarik iaitu Midnight Blue, Slate Grey dan Fiery Red.

WMoto ES250i ini dikuasakan enjin bersesaran 244.3cc (empat lejang, silinder tunggal, sejukan cecair, SOHC, empat injap) dengan teknologi suntikan bahan api EFi dan patuh piawaian emisi Euro 4, serta menghasilkan kuasa maksimum 21hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 21Nm @ 6,500rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan sistem transmisi automatik CVT. Untuk lebih kilometer, ianya dilengkapi dengan tangki bahan api 12 liter.

Sebagai sebuah model skuter kompak namun praktikal, WMoto ES250i ini didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri yang menarik. Antaranya ialah Smart Key System, panel meter digital dan analog dengan pelbagai maklumat terperinci, lampu hadapan LED projektor dan DRL yang jelas dan terang, dan termasuklah lampu belakang dengan rekaan unik.

Selain itu, WMoto ES250i turut dilengkapi Hazard Light sebagai amaran ketika berlaku situasi kecemasan, port USB dan ruang simpan telefon bimbit sambil mengecas, ruang simpanan di bawah tempat duduk seluas 19 liter, tempat duduk anti-gelincir yang lebih selesa, suspensi KYB hadapan dan belakang boleh laras, brek cakera J Juan di depan dan belakang, dan sistem ABS Dual Channel untuk keselamatan yang lebih terjamin.

WMoto ES250i ini berdiri di atas tayar depan berukuran 110/70-R13 dan tayar belakang berukuran 130/70-R13. Tinggi tempat duduknya pula berada pada paras 770 mm, jarak kelegaan tanah 135 mm dan berat hanya 147 kg. Harga jualan asasnya ialah sebanyak RM 13,888.00 sahaja, dan ianya tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.