Pada tarikh 10hb. Mac 2022 yang lepas, Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. dengan rasminya melancarkan sebuah model sport bike full fairing terbaharu untuk pasaran Malaysia iaitu Suzuki GSX-R150 2022. Model tersebut tampil dengan dua pilihan warna Metallic Titan Blue dan Stronger Red / Titan Black, dan ditawarkan dengan harga asas RM 11,329.00.
Di pasaran Malaysia, Suzuki GSX-R150 akan memberikan saingan terhadap beberapa buah model terkenal yang lain, seperti Yamaha YZF-R15 (RM 11,988.00) dan Honda CBR150R (RM 12,499.00). Selain itu, Modenas Pulsar RS200 (RM 9,990.00) dan GPX Demon GR200R SE (RM 11,888.00) juga antara model yang akan menjadi seterunya.
Suzuki GSX-R150 mempunyai reka bentuk yang sporty dengan berat penuh hanya 135 kg. Enjinnya bersesaran 147.3cc dengan teknologi DOHC 4-valve, dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin berprestasi tinggi itu mencapai paras 18.9PS @ 10,500rpm, dengan tork maksimum 14Nm @ 9,000rpm.
Pelbagai ciri-ciri menarik melengkapi model berkenaan, antaranya ialah Keyless Ignition System, Suzuki Easy Start System, paparan panel meter digital LCD, tangki bahan api 11 liter, fork depan jenis teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, lampu depan LED, dan juga sistem ekzos yang berprestasi tinggi.
Suzuki GSX-R150 mempunyai ketinggian tempat duduk 785 mm, jarak kelegaan tanah 160 mm, dan menggunakan tayar tanpa tiub dalam saiz 90/80-R17 (depan) dan 130/70-R15 (belakang). Setakat ini belum dapat dipastikan sejauh manakah prestasi jualannya, namun diharapkan ianya akan diberikan sambutan oleh peminat motosikal tempatan.